PETALING JAYA: Serangan bom ke atas hospital, kediaman dan pusat fisioterapi didakwa membuktikan bahawa Israel menyasarkan pusat-pusat berkenaan secara sengaja, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau amat terkesan selepas mendapat tahu Pusat Fisioterapi dan Rehabilitasi Dr. Siti Hasmah dan Enaya di Gaza musnah akibat serangan bom rejim Zionis pada 7 November lepas.
Kata beliau, ini kerana beliau mempunyai hubungan peribadi dengan pusat berkenaan, walaupun bersimpati atas pengeboman dan kemusnahan hospital dan pusat perlindungan lain di Gaza sebelum ini.
“Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF), yang saya ahli, terlibat secara langsung dalam pembinaannya sejak awal lagi.
“PGPF bersama Humanitarian Care Malaysia, Muslim Care Malaysia, Media Prima Humanitarian Fund dan Persatuan Amal untuk Bantuan Palestin membantu membinanya dan ia telah beroperasi sejak 2019,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, Mahathir berkata, serangan di Pusat Fisioterapi dan Rehabilitasi Dr Siti Hasmah dan Enaya terbukti satu kepura-puraan rejim Zionis bahawa mereka tidak menyasarkan selatan Gaza.
“Serangan kini bertukar menjadi operasi pembunuhan beramai-ramai orang awam dan bukan pejuang Palestin. Ia bukan perang antara tentera, tetapi pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Israel untuk menyingkirkan Gaza daripada penduduk Palestinnya.
“Pengeboman hospital dan kediaman dan kini pusat fisioterapi, membuktikan bahawa Israel menyasarkan pusat-pusat ini secara sengaja.
“Apa yang boleh kita lakukan ialah membantah dan berdoa agar rakyat Palestin dihindarkan daripada kekejaman Israel.
“Termasuk sekutu Israel, terutamanya Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) terus membenarkan dan menyokong kebiadaban Israel,” katanya.- UTUSAN