Pulau Pinang tambah baik dasar pembangunan, rancakkan sektor hartanah di Seberang Perai - Utusan Malaysia

Pulau Pinang tambah baik dasar pembangunan, rancakkan sektor hartanah di Seberang Perai

S. SUNDARAJOO (dua dari kanan) pada sidang akhbar mengenai penganjuran Pameran Hartanah Sekunder dan Primer Malaysia (MASPEX) di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN : Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menambah baik dasar pembangunan sedia ada bagi merancakkan lagi sektor hartanah di negeri itu serta menarik lebih ramai pemaju untuk melabur di kawasan Seberang Perai.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, kawasan Seberang Perai yang merupakan tanah besar Pulau Pinang sedang berada di dalam mod pembesaran pembangunan di mana lebih banyak kilang-kilang kini diwujudkan di situ.

Katanya, situasi itu membolehkan lebih banyak peluang pekerjaan disediakan kepada penduduk di kawasan terbabit.

“Antara perkara yang sedang dilihat ialah untuk kita meningkatkan ‘plot ratio’ bagi projek pembangunan di Seberang Perai supaya sama atau hampir serupa dengan projek pembangunan di kawasan pulau,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan sidang akhbar mengenai penganjuran Pameran Hartanah Sekunder dan Primer Malaysia (MASPEX) yang akan berlangsung pada 7 hingga 10 Disember depan di Queens Bay Mall dekat sini.

Menurut Sundarajoo, kerajaan negeri yakin dengan prospek sektor hartanah di Pulau Pinang dan berharap penambahbaikan yang akan dijalankan itu akan memberi dorongan kepada sektor tersebut untuk terus berkembang.

“Seberang Perai mendapat manfaat daripada kewujudan taman-taman perindustrian.

“Pada masa depan, penubuhan Taman Perindustrian Batu Kawan 2 (BKIP2) dan projek transit aliran ringan akan menyediakan lebih banyak pemangkin kepada sektor itu untuk berkembang,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, MASPEX 2023 yang dianjurkan Institut Ejen Harta Tanah Malaysia (MIEA) menjadi platform terpenting untuk pemaju hartanah mempamerkan pelbagai hartanah berbentuk ‘sub-sale’ dan projek baharu kepada orang ramai.

“Edisi tahun ini melibatkan 24 gerai yang akan mempamerkan lebih 3,000 hartanah bernilai lebih RM2 bilion daripada pelbagai agensi hartanah.

”Pengunjung akan mempunyai pilihan pelbagai jenis hartanah merentasi harga dan lokasi yang berbeza termasuk rumah bernilai antara RM250,000 hingga lebih RM1 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN