Pulau Pinang diharap terap konsep 'belanjawan rahmah' - Reezal Merican - Utusan Malaysia

Pulau Pinang diharap terap konsep ‘belanjawan rahmah’ – Reezal Merican

REEZAL MERICAN Naina Merican (kanan) menyantuni seorang penerima bantuan sempena Majlis Sumbangan Deepavali peringkat Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Kerajaan Negeri Pulau Pinang diharap dapat menerapkan konsep ‘belanjawan rahmah’ semasa sesi pembentangan Belanjawan Pulau Pinang 2024 yang dijadual pada 24 November ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini kerana nilai rahmah yang diterapkan dalam belanjawan tahunan itu mampu memberi lebih banyak keuntungan serta limpahan manfaat kepada rakyat negeri ini secara keseluruhannya.

Pada masa sama, Reezal Merican turut berharap belanjawan yang akan dibentangkan nanti seiring dengan konsep Belanjawan Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dalam hal ini, Belanjawan Madani sebenarnya telah memberikan satu perasaan iaitu ‘the real feeling of rahmah’ (perasaan rahmah yang sebenar) kepada rakyat.

“Justeru, saya berharap belanjawan kerajaan negeri juga akan berteraskan perkara ini (rahmah) yang seiringan antara negeri dan Pusat itu akhirnya boleh memberi lebih limpahan (manfaat) kepada rakyat semula,” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Deepavali bagi peringkat Kepala Batas di Kuil Sri Sithi Vinagayar, di sini hari ini.

Kerajaan negeri sebelum ini dilaporkan tidak menambah sebarang peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang dalam Belanjawan 2024.

Difahamkan, jumlah peruntukan yang diterima oleh wakil rakyat pembangkang di Pulau Pinang ketika ini adalah sebanyak RM60,000 setahun manakala wakil rakyat kerajaan negeri menerima peruntukan sehingga RM500,000.

Dalam pada itu, Reezal Merican yang juga bekas Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, seramai 300 keluarga kurang berkemampuan menerima bantuan wang tunai serta barangan asas lain sempena sambutan Deepavali, esok.

Jelasnya, ini kali pertama sambutan perayaan itu diadakan secara bersama antara Barisan Nasional (BN) dan parti gabungan lain dalam Kerajaan Perpaduan iaitu PKR, DAP dan Amanah.

“Ini (kerjasama antara parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan) seterusnya akan membolehkan kelompok mereka yang menerima bantuan ini menjadi lebih luas (dan menyeluruh) selepas ini,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya