GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus menggerakkan dan memperkasakan peranan masyarakat India baik dari segi politik, sosial mahupun ekonomi di negeri itu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bagi memastikan segala kemajuan pembangunan dapat dinikmati dengan setara dan mengambil kira kepentingan semua kaum, kerajaan negeri akan terus merangka dasar berimpak kepada masyarakat India serta masyarakat semua kaum di negeri itu seiring dengan matlamat untuk memacu Visi Penang2030.
”Di Pulau Pinang, sumbangan dan bakti masyarakat India dalam pembangunan negeri adalah penting dan melalui pendekatan progresif yang direncanakan, kerajaan negeri akan terus menggerakkan dan memperkasakan peranan masyarakat India baik dari segi politik, sosial mahupun ekonomi.
“Selain itu, pada aspek infrastruktur dan pemerkasaan akademik, Pulau Pinang adalah negeri pertama dalam negara yang menyediakan peruntukan khas untuk sekolah-sekolah Tamil melalui Bajet tahunan sejak tahun 2009,” katanya dalam perutusan sempena sambutan perayaan Deepavali di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, kesemua 28 sekolah Tamil memperoleh faedah daripada peruntukan yang disalurkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk pelbagai kegunaan pembangunan berkaitan pendidikan yang mana sehingga kini lebih RM25 juta telah disalurkan demi kebaikan aspek berkenaan.
“Malah, di bawah kerangka Visi Penang2030 juga, kerajaan negeri bersetuju menaikkan peruntukan geran tahunan kepada RM2 juta setahun kepada Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang.
“Ia adalah untuk melaksanakan projek atau program khas merangkumi aspek pembangunan pendidikan, infrastruktur dan juga perubatan,” katanya.
Tambah beliau, semua sekolah Tamil di Pulau Pinang mempunyai kelas pintar menggunakan kaedah pembelajaran abad ke-21 bagi memastikan para pelajar didedahkan dengan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
”Malah, kerajaan negeri turut membekalkan kelengkapan komputer, ‘smart board’, smart panel, smart TV, tab dan lain-lain keperluan demi menyuntik semangat belajar dan melahirkan pelajar yang kreatif serta kritis.
“Hasilnya, ada sekolah-sekolah Tamil di negeri ini yang berjaya melakar pencapaian dan pengiktirafan membanggakan Pulau Pinang pada peringkat antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, secara keseluruhan, kerajaan negeri turut meningkatkan peruntukan dana pendidikan kepada RM2 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
“Bagi tadika di sekolah Tamil, peruntukan ditingkatkan dari RM100,000 kepada RM150,000; Tabung Khas Sekolah Tamil (daripada RM100,000 kepada RM150,000) dan sekolah Punjabi (daripada RM60,000 kepada RM90,000).
“Bagi membantu pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, seramai 2,932 pelajar yang layak telah menerima biayaan biasiswa berjumlah RM4,180,367.33 sejak tahun 2010 sehingga 2023,” katanya.
Selain itu, katanya, melalui agenda perumahan rakyat, kerajaan negeri bertekad menyediakan tempat tinggal yang kondusif bagi memastikan kualiti kehidupan rakyat lebih baik.