Projek diumum 2017, litar lumba masih terbengkalai - Utusan Malaysia

Projek diumum 2017, litar lumba masih terbengkalai

SAMPAH sarap memenuhi laluan masuk utama ke lokasi Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani di Ambangan Heights, Bandar Aman Jaya di Sungai Petani. – UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Peminat sukan permotoran kecewa apabila projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani di Ambangan Heights, Bandar Aman Jaya di sini masih terbengkalai walaupun perancangan projek itu diumum pada 2017.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, tapak litar seluas 40 hektar itu ditumbuhi semak samun dengan laluan masuknya turut dijadikan tempat pembuangan sampah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Malah beberapa kemudahan asas seperti longkang dipenuhi tanah dan pokok liar selain jalan utama untuk memasuki tapak litar itu ditumbuhi pokok-pokok.

Seorang peminat sukan permotoran, Jasni Khalid, 32, berkata, sepatutnya projek yang dilengkapi trek perlumbaan sepanjang 1.8 kilometer (km) itu disiapkan segera bagi me­rancakkan sukan permotoran.

“Sudah beberapa kali dijanjikan projek itu akan disiapkan, tetapi hanya kerja-kerja tanah sahaja dilakukan. Kegagalan menyiapkannya menimbulkan pelbagai pertanyaan dalam kalangan peminat tentang apa sebenarnya yang berlaku,” katanya ketika ditemui semalam.

Sebelum ini Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberitahu, kerajaan negeri sedia meneruskan projek litar lumba berkenaan, namun hanya mengikut peruntukan awal sedia ada.

Kekecewaan sama dikongsi Mohamad Syahir Roslan, 19, dari Taman Universiti, Bedong yang melihat kegagalan menyi­apkan projek itu menyebabkan kegiatan rempit berleluasa
Katanya, ini kerana peminat sukan tersebut tidak mempu­nyai tempat khas untuk berlumba secara selamat.

“Usaha membina litar itu bertujuan menyelesaikan aktiviti lumba haram yang mengancam keselamatan orang ramai walaupun ia dikatakan akan turut digunakan untuk komersial.

“Tetapi jika masih terbengkalai, macam mana sukan permotoran ini dapat dikembangkan di peringkat lebih tinggi?” Soalnya.

Bagi peniaga, Mohamad Saufi Khalid, 40, dari Taman Sejati pula, apa yang berlaku menyebabkan peniaga kempunan untuk berniaga bagi mendapatkan pendapatan tambahan.

“Kami difahamkan di litar itu akan dibangunkan lokasi yang menempatkan peniaga dan ini amat menggembirakan kerana ia turut mewujudkan peluang perniagaan. Tapi nampaknya impian itu tidak berpihak kepada peniaga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya