Program STEM, Bahasa Inggeris anjuran YUEM, YSB tingkat pemahaman pelajar

Program STEM, Bahasa Inggeris anjuran YUEM, YSB tingkat pemahaman pelajar

TUNKU Puteri Intan Safinaz (tengah) bersama Mohd. Izani Ghani (dua kiri) dan Noorazman Abd. Aziz (kanan) mendengar penerangan pelajar ketika melawat pameran pada majlis penutup STEM and English Programme anjuran YUEM dan YSB di Pendang Lake Resort. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta bahasa Inggeris anjuran bersama Yayasan UEM (YUEM) dan Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) bukan sahaja membantu meningkatkan pemahaman pelajar luar bandar dalam subjek itu.

Malah, pendekatan yang tidak bergantung kepada pembelajaran dalam kelas dan buku teks seperti kelaziman itu turut menarik minat mereka untuk mempelajari secara lebih mendalam berkaitan STEM dan menguasai bahasa Inggeris.

Penganjuran selama enam bulan melibatkan penyertaan 300 pelajar sekolah menengah di beberapa daerah di Kedah itu pada masa sama turut meningkatkan keyakinan mereka untuk bukan sahaja berkomunikasi dalam bahasa Inggeris tetapi menambah pengetahuan dalam bidang STEM.

Peserta terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga tiga dari 10 buah sekolah di Kota Setar, Pendang, Kuala Muda Yan, Baling dan Sik dengan 80 peratus mereka berlatar belakangkan golongan kurang berkemampuan.

Pengarah Urusan UEM Group Berhad, Datuk Mohd. Izani Ghani yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah YUEM berkata, minat pelajar dalam STEM dan bahasa Inggeris dicungkil menerusi aktiviti yang menarik dan lebih dekat dengan mereka.

“Antaranya seperti projek pembentangan, permainan berperanan, pembangunan laman web, pembinaan robot dan pemprograman menggunakan 100 set Arduino sumbangan YUEM.

“Program tersebut merekodkan kehadiran 100 peratus dan 95 peratus daripada guru melaporkan bahawa program STEM berkenaan telah menambahbaik pemahaman pelajar dalam subjek itu, tingkat minat mereka serta menyuntik semangat pelajar untuk menyiapkan tugasan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup STEM and English Programme yang disempurnakan Tunku Temenggong Kedah selaku Pengerusi YSB, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Pendang Lake Resort, kelmarin.

SEBAHAGIAN pemenang bergambar kenangan bersama Tunku Puteri Intan Safinaz dan tetamu kenamaan lain pada majlis penutup STEM and English Programme anjuran YUEM dan YSB di Pendang Lake Resort. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

Yang turut hadir, Pengerusi YUEM, Datuk Noorazman Abd, Aziz dan Timbalan Pegawai Daerah Pendang, Mohd. Zhafri Mohd. Zohdi dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Sabri Osman.

Melalui program itu, para pelajar turut diperkenalkan dengan pelajar lain yang mempunyai minat sama dari seluruh dunia menerusi laman web www.STEM.org yang sekali gus didorong dan dibantu untuk menyertai pertandingan STEM peringkat kebangsaan.

Tambah Mohd. Izani, pendidikan merupakan salah satu tumpuan utama YUEM yang memerlukan penyediaan akses kepada pendidikan berkualiti terutamanya bagi para pelajar pedalaman dan kurang berkemampuan.

“Kami percaya kepentingan untuk mengambil pendekatan yang berbeza, lebih mesra pelajar dan praktikal, sekali gus berpuas hati dengan hasil penganjuran program STEM dan bahasa Inggeris tahun ini.

“Ianya bukan sahaja telah menambahbaik pemahaman serta penggunaan STEM dalam kalangan 300 pelajar pedalaman Kedah, tetapi mereka juga kini lebih yakin bertutur dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Sementara itu,Tunku Puteri Intan Safinaz menzahirkan harapan untuk terus memberi inspirasi kepada pelajar terlibat dan menyediakan mereka bagi pekerjaan dalam Industri 4.0 dan ke hadapan.

Beliau turut membuat lawatan ke pameran STEM yang menyaksikan kreativiti pelajar serta menyaksikan tayangan video dan persembahan juara-juara STEM and English Programme di samping menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Dalam pada itu, Sabri berkata, program berkenaan juga diharapkan agar dapat diteruskan pada masa depan memandangkan ia memberi kesan bermakna dan menanam semula minat pelajar terutamanya dari sekolah luar bandar untuk menceburi bidang berkaitan STEM dan bahasa Inggeris.

“Tahniah kepada YUEM dan YSB kerana sentiasa berkolaborasi menyokong kecemerlangan pendidikan kerana melalui program seperti ini ia menonjolkan kemenjadian pelajar dalam mencipta sesuatu hasil dorongan dan galakan terhadap minat masing-masing.

“Apatah lagi para pelajar yang dipilih merupakan mereka yang tinggal dan bersekolah di kawasan luar bandar, maka program seperti ini memberi suntikan baharu kepada mereka dan saya sentiasa menyokong untuk ianya diteruskan oleh YUEM dan YSB atau mana-mana pihak,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya