KEMAMAN: Pengundi muda di Parlimen Kemaman diingatkan supaya bijak membuat penilaian dalam memilih calon yang tepat bagi menjamin masa depan mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, 2 Disember depan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau percaya golongan muda perlu memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) memandangkan parti itu banyak jasa kepada kepada rakyat termasuk anak-anak muda dari zaman persekolahan lagi.
Malah menurutnya, sokongan pengundi muda kepada calon BN dalam PRK itu dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan selepas ini.
Katanya, calon BN, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor akan dapat membawa suara generasi muda di Kemaman kepada Kerajaan Perpaduan termasuk isu pembangunan berbanding calon Pas, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar kerana tetap menjadi pembangkang di peringkat Pusat.
“Kalau Menteri Besar (Ahmad Samsuri) menang pun, dia jadi pembangkang, oleh kerana itu, jadi baiklah kita (pengundi Kemaman) serahkan Parlimen ini kepada calon BN, biar kita dapat satu pemimpin yang boleh berada dalam kerajaan (Pusat).
“(Pengundi) kena bijak buat keputusan pada 2 Disember ni, kita dapat pembangkang kalau pilih Menteri Besar, kalau pilih Raja Mohamed Affandi, kita dapat kerajaan Pusat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program ramah mesra dan ziarah kasih sempena kempen PRK Parlimen Kemaman di Bilik Gerakan Cawangan Mak Chili di sini, hari ini.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan menambah, pengundi di Parlimen Kemaman perlu menjadikan kawasan itu sebagai jambatan penghubung di antara Terengganu dengan Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, pengundi perlu menggunakan sepenuhnya peluang pada PRK ini memilih wakil Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) di Parlimen itu.
“Alangkah baiknya jika ada jambatan perhubungan (Terengganu dan kerajaan Pusat) kerana dapat berunding banyak perkara untuk kebaikan rakyat keseluruhannya,” ujarnya. UTUSAN