PRK Kemaman: Pas mengadakan mesyuarat pilih calon esok - Utusan Malaysia

PRK Kemaman: Pas mengadakan mesyuarat pilih calon esok

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PRK Parlimen Kemaman di Chukai, Kemaman, malam tadi. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Pas akan mengadakan mesyuarat menentukan calon yang akan bertanding  mempertahankan kerusi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, esok.

Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, berkata, mesyuarat tersebut akan diadakan di Pejabat Pas Pusat di ibu negara.

“Mesyuarat Pas Pusat akan diadakan pada 12 November (Ahad) untuk menentukan siapa calon yang akan dipilih bertanding di Kemaman (PRK Parlimen Kemaman).

“Bagaimanapun, kita hanya akan mengumumkan calon tersebut pada Khamis depan di Chukai,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui  selepas melancarkan Jentera PRK Kemaman di Chukai, dekat sini, malam tadi.

Muhammad Sanusi berkata,  jentera PN kini bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRK tersebut.

“Kita bersedia sepenuhnya untuk bekerja keras pada PRK ini dan hanya tunggu gendang dipalu sahaja.

“Kita yakin dapat menambah majoriti undi hingga 30,000 undian berbanding sebelum ini lebih 27,000,” katanya.

Sebelum ini, antara nama yang disebut-sebut bakal bertanding sebagai calon Pas dalam PRK Parlimen Kemaman ialah penyandang kerusi itu, Che Alias Hamid, bekas Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Che Alias menang dengan majoriti 27,179 undi setelah meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru.

Alias berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Said yang meraih 38,535 undi dan dua calon lain iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi) manakala calon Pejuang, Rosli Ab. Ghanih (506 undi).

PRK Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihanraya Terengganu membatalkan kemenangan Alias pada 26 September lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN