PRK Kemaman: 700 anggota, pegawai polis siap sedia hadapi banjir  - Utusan Malaysia

PRK Kemaman: 700 anggota, pegawai polis siap sedia hadapi banjir 

MAZLI Mazlan (dua, kanan) diberi penerangan mengenai persediaan hari penamaan calon PRK Parlimen Kemaman di Dewan Berlian Utama Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Lebih 700 anggota dan pegawai polis bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan sekiranya berlaku banjir pada sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang akan berlangsung 2 Disember depan. 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 419 anggota akan ditugaskan pada hari penamaan calon, esok. 

“Secara keseluruhannya, kita bersedia dengan keadaan semasa sekiranya berlaku banjir memandangkan sekarang ini telah memasuki musim tengkujuh dan dijangka berlaku banjir. 

“Bagaimanapun, kita telah bersiap sedia sekiranya berlaku banjir dan pada hari penamaan calon dan pengundian supaya proses kedua-dua hari tersebut berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau pusat penamaan calon PiRK Parlimen Kemaman di sini, hari ini.

Mazli berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pegawai Daerah Kemaman dan agensi keselamatan lain mengenai pelan kontigensi yang akan diambil sekiranya berlaku banjir pada hari pengundian. 

“Semua aset telah kita gerakkan,  perancangan telah kita susun untuk pastikan proses PRK tetap berjalan lancar walaupun sekiranya banjir berlaku. 

“Kita juga akan berkerjasama dengan agensi lain seperti Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan pelbagai syarikat dan badan bukan kerajaan yang menawarkan bantuan aset mereka digunakan untuk membawa penduduk terjejas banjir keluar ke lokasi mengundi,” katanya. 

Mazli berkata, sebanyak 308 lokasi di seluruh daerah ini dikenalpasti berisiko berlaku banjir pada musim tengkujuh. 

“Sebanyak 18 pusat pengundian juga akan terjejas sekiranya berlaku banjir yang mana antara 18 pusat ini juga ada yang turut dijadikan lokasi pusat pemindahan sementara bagi menempatkan mangsa banjir. Kita akan susun balik mengikut keperluan dan keadaan semasa. 

“Kita memberi jaminan agar penduduk dapat keluar mengundi dengan selamat walaupun kita berisiko berdepan bencana banjir dan InsyaAllah proses pengundian akan berjalan lancar,” katanya. 

Ditanya sama ada terdapat ‘kawasan panas’ pada PRK Parlimen Kemaman ini, Mazli berkata, setakat ini tiada kawasan panas yang dikenal pasti.

“PRK ini kita nampak agak terkawal dan tak ada kawasan panas setakat ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya