Polis tunggu arahan pejabat Timbalan Pendakwa Raya siasat kes pukul pengadil - Utusan Malaysia

Polis tunggu arahan pejabat Timbalan Pendakwa Raya siasat kes pukul pengadil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Polis menunggu arahan perintah untuk menyiasat (OTI) daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya sebelum meneruskan siasatan kes seorang pengadil diserang pemain dalam kejohanan bola sepak di daerah Manjung, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menunggu OTI sebelum mengambil keterangan tiga individu yang disyaki terlibat mencederakan pengadil tersebut.

Dalam kejadian di sebuah padang di Lekir kira-kira pukul 5.30 petang 18 November lalu, pengadil berusia 27 tahun itu didatangi tiga lelaki yang bermain dengan pasukan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) dari Terengganu, telah menendang mangsa sehingga cedera di bahagian pinggang dan kaki.

Ketiga-tiga lelaki melakukan perbuatan itu selepas dipercayai tidak berpuas hati apabila pasukan mereka tumpas 0-1 dengan sebuah pasukan PBT dari Johor.

Kejadian berlaku ketika Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Sukan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA 2023) melibatkan 48 pasukan dari seluruh negara yang berlangsung selama tiga hari di daerah Manjung, berakhir kelmarin.

Video mengenai insiden tersebut kemudian tular dalam media sosial yang menunjukkan pengadil dikejar pemain sehingga ke khemah urusetia kejohanan sebelum beberapa orang di situ cuba menenangkan keadaan.

Menurutnya, ketika kejadian berlaku beberapa orang saksi yang melihat kejadian memberitahu mangsa tidak melawan apabila suspek secara tiba-tiba menyerangnya tetapi telah dileraikan orang beberapa orang yang ada di tempat kejadian.

“Pengadu juga mengatakan telah menyelesaikan hal ini semasa di tempat kejadian dengan pihak penganjur serta PBT terbabit secara baik,” ujarnya sambil memberitahu semua suspek sudah kembali ke Terengganu.

Beliau menjelaskan, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Sitiawan bertujuan untuk perlindungan diri dan rujukan Persatuan Pengadil Bola Sepak Negeri Perak sahaja.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya