PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memulakan siasatan berhubung penularan rakaman video perbualan lucah antara seorang lelaki dipanggil Wahab dengan seseorang lagi lelaki yang mirip Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff dalam media sosial.
Memberitahu perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan mengesahkan satu laporan telah diterima pihaknya berhubung penularan video berkenaan.
Kata beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
“Selain itu, kita (polis) juga akan menyiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Terdahulu, video berdurasi tiga minit tiga saat itu dikongsikan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che’gu Bard menerusi akaun aplikasi TikTok miliknya.
Menerusi rakaman video itu boleh didengar secara jelas perbualan sesama lelaki itu melalui panggilan video seperti pasangan kekasih yang sedang ‘memancing’ untuk melakukan hubungan intim.
Menjengah ruangan caption pada video berkenaan, Che’gu Bard mempersoalkan adakah lelaki dalam video itu adalah Pengarah J-KOM lantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan meletak jawatan hari ini.
Sementara itu, memetik laporan media sebelum ini, Mohammad Agus mengesahkan telah menghantar surat peletakan jawatan.
Beliau berkata, surat peletakan jawatan itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri semalam.
Katanya, keputusan berkenaan dilakukan berikutan beliau menerima tawaran pekerjaan baharu dan bukan disebabkan tekanan oleh mana-mana pihak. -UTUSAN