SHAH ALAM: Lebih tiga tan metrik dadah dirampas polis di seluruh negeri ini sejak Januari hingga Oktober lalu dengan nilai terkumpul sebanyak RM306.13 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam tempoh tersebut, dadah syabu yang paling banyak dirampas iaitu sebanyak 2,244.12 kg.
“Kita juga berjaya merampas ganja, heroin, ketamin, kokain, pil ecstasy, daun ketum dan lain-lain lagi. Dipercayai semua dadah ini boleh dibekalkan kepada 7.4 juta orang pengguna,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Jelasnya, dalam tempoh sama, sebanyak 29 sindiket pengedaran dadah ditumpaskan serta empat kes makmal dadah haram di seluruh negeri diserbu polis selain menangkap 18,911 yang terlibat dalam kesalahan melibatkan dadah.
“Kita juga menyita aset pengedar dadah seperti wang tunai, kenderaan, hartanah dan rumah bernilai RM11.43 juta di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 sepanjang Januari hingga Oktober 2023.
“Kejayaan tangkapan dan rampasan besar ini adalah hasil usaha gigih pegawai dan anggota polis negeri,” ujarnya.
Sementara itu bagi tindakan pelupusan dadah pada kali ini, Hussein berkata, sejumlah 1991.26 kg pelbagai jenis dadah yang bernilai RM42.26 juta akan dilupuskan, dengan kesemua rampasan dadah itu dari tahun 2016 sehingga 2023.
Kesemua dadah ini menurutnya, akan dilupuskan di Port Dickson, Negeri Sembilan oleh sebuah syarikat swasta. – UTUSAN