Polis sekali lagi ambil keterangan Mohammad Agus esok

Polis sekali lagi ambil keterangan Mohammad Agus esok

agus
MOHAMMAD Agus Yusoff (kiri) dan Abdul Wahab dalam sidang akhbar di Bangi Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil keterangan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Mohammad Agus Yusoff esok untuk dirakam keterangan sekali lagi susulan video perbualan miripnya dengan seorang lelaki yang tular sejak Khamis lalu.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bagaimanapun, tempat dan masa akan ditentukan kelak. 

“Kita juga akan mengambil keterangan lelaki dipercayai kakitangan JKOM didakwa dalam video tersebut dikenali sebagai Wahab dalam masa tedekat ini.

“PDRM juga akan memanggil beberapa individu lain bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Tambah Razarudin, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti individu bergelar ‘Mr. H’ dikaitkan dengan kes tersebut.

“Siasatan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, buat masa ini, polis menerima satu laporan polis berhubung kes itu dan beliau merujuk kepada laporan polis oleh Mohammad Agus, Jumaat lalu.

Sehubungan itu, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

Mohammad Agus dalam satu sidang media khas Jumaat lalu mendakwa video perbualannya bersama individu bernama Wahab yang tular dalam media sosial itu sebenarnya sudah disunting.

Beliau berkata, tindakan itu dipercayai dilakukan pihak tertentu yang sengaja mahu menjatuhkan reputasi beliau dengan menyebarkan video yang didakwanya sebagai palsu.

Abdul Wahab yang turut serta dalam sidang media khas tersebut mengaku merakam video asal yang didakwa sudah diubah suai itu.

Abdul Wahab mendakwa dia diarahkan oleh seorang individu berjawatan tinggi dikenali Mr H untuk merakam satu klip video bagi memerangkap bekas Ketua Pengarah J-KOM itu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN