IPOH: Prihatin terhadap nasib menimpa rakyat Palestin akibat kekejaman rejim zionis Israel, warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak menggerakkan tabung kutipan sumbangan bagi membantu mereka.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kutipan selama 10 hari bermula 27 Oktober lalu itu adalah hasil sumbangan warga Kontinjen Perak melibatkan 15 buah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negeri
Katanya, kutipan wang tersebut akan disalurkan kepada Tabung Kempen Solidariti Palestin yang dilancarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
“Atas semangat solidariti terhadap penderitaan penduduk Palestin, kita telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM23,538 hasil sumbangan warga Kontinjen Perak.
“Kutipan sumbangan ini juga merupakan tanda sokongan PDRM Perak terhadap inisiatif Tabung Kemanusiaan Palestin bagi Perkhidmatan Awam yang dilancarkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali bulan lalu,” katanya di sini.
Menurutnya, PDRM Perak akan sentiasa menyokong sebarang usaha murni dan misi kemanusiaan sejagat termasuk membantu meringankan beban dan kesengsaraan yang sedang dialami penduduk Palestin.
“Terima kasih kepada semua warga polis Perak di atas ihsan dan keprihatinan mereka dalam membantu saudara kita di Palestin yang kini berada dalam konflik peperangan.
“Diharapkan dengan sumbangan ini, sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang berdepan pelbagai kesukaran termasuk membabitkan bekalan makanan dan perubatan,” katanya. – UTUSAN