Polis patahkan cubaan seludup ganja seberat 70 kg bersama senjata api - Utusan Malaysia

Polis patahkan cubaan seludup ganja seberat 70 kg bersama senjata api

MUHAMMAD Abdul Halim (empat dari kanan) menunjukkan pistol dan dadah dipercayai ganja yang dirampas semasa rondaan Op Taring Wawasan Kedah/Perlis di kebun getah berdekatan Kampung Kolam, Padang Besar, Perlis, pada Khamis lalu. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Polis berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah dipercayai ganja menerusi rondaan Op Taring Wawasan Kedah/Perlis di sebuah kebun getah berdekatan Kampung Kolam, Padang Besar pada Khamis lalu.

Selain itu, sepucuk pistol jenis Beretta bersama 50 butir peluru hidup 9 milimeter (mm) turut dirampas semasa rondaan tersebut.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, sepasukan anggota dari Cawangan Risik Polis Gerakan Am (PGA) Batalion 3, Bidor, Perak menyedari kelibat seorang lelaki yang bertindak memberhentikan motosikal jenis Honda EX5 C100 yang ditunggangnya secara tiba-tiba lalu merebahkan kenderaan itu dan terus melarikan diri.

“Polis kemudiannya menjalankan pemeriksaan di kawasan itu dan menjumpai satu bungkusan plastik hitam di mana di dalamnya mengandungi dua bungkusan guni putih.

“Hasil pemeriksaan lanjut menjumpai 70 ketulan mampat dibaluti plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja seberat 70 kilogram bersama sepucuk pistol dan satu kotak mengandungi 50 butir peluru 9 mm,” katanya sewaktu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, siasatan awal dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Perlis bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar telah membawa kepada penahanan empat suspek lelaki warga tempatan berusia 30 hingga 40-an yang disyaki terlibat dengan kegiatan tersebut.

Beliau berkata, nilai rampasan dadah berkenaan adalah berjumlah RM217,000 malah ia dianggarkan dapat digunakan oleh seramai kira-kira 700,000 orang pengguna.

“Berikutan itu, suspek pertama hingga ketiga telah ditahan reman selama enam hari bermula Jumaat lalu manakala suspek keempat pula direman selama enam hari bermula semalam.

“Polis juga akan memohon lanjutan reman buat suspek pertama hingga ketiga di mahkamah pada esok bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kes ini,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad berkata, siasatan juga mendapati suspek pertama tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala suspek kedua hingga keempat mempunyai beberapa rekod berkaitan dadah serta jenayah.

Katanya, ujian saringan air kencing juga mendapati dua daripada suspek terlibat adalah positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

“Mana-mana individu yang terlibat dalam sebarang aktiviti penyeludupan akan diambil tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang sedia ada dan orang ramai diharap dapat menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang berlaku bagi membolehkan tindakan diambil,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya