BESUT :Polis sedang giat memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan kes kematian anak lelaki teman wanitanya di Kampung Raja di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Mohammad berkata, pihaknya telah mengenal pasti identiti suspek yang berusia 27 tahun itu.
Menurutnya, siasat awal polis percaya suspek telah melarikan diri dan bersembunyi di negeri jiran.
“Mereka yang ada maklumat diminta tampil memberi kerjasama dan insya-Allah kita akan dapat menangkap suspek,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu, Abdul Rozak memberitahu, ibu mangsa berusia 27 tahun telah ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini.
Tambahnya, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Terdahulu seorang ibu tunggal berusia 27 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes kematian anak lelakinya di Klinik Kesihatan Kampung Raja, di sini, semalam.
Abdul Rozak berkata, polis menerima laporan kematian kanak-kanak berusia setahun lima bulan itu di klinik kesihatan berkenaan pada pukul 10.16 pagi .- UTUSAN