PETALING JAYA: Polis akan memanggil bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff sekali lagi untuk dirakam keterangan, susulan video perbualan individu miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM yang tular.
Menurut Mohamad Agus, video itu, telah disunting oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Memetik BERNAMA, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkannya dan berkata pihak polis telah memanggil Mohammad Agus untuk diambil keterangan.
“Sepatutnya hari ini (Semalam) sambung (rakam keterangan) tetapi beliau (Mohammad Agus) tidak sihat,” katanya ringkas kepada Bernama semalam.
Razarudin berkata tempat untuk menyambung rakaman percakapan Mohammad Agus akan ditentukan kemudian. – UTUSAN