PM umum insentif sempadan, pengecualian visa untuk negara tertentu

PM umum insentif sempadan, pengecualian visa untuk negara tertentu

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan para perwakilan pada Kongres Nasional PKR 2023 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa penambahbaikan dengan dua negara jiran selain beberapa negara di rantau tertentu.

Antaranya pengecualian visa selama 30 hari untuk pelawat dari China dan India selain negara-negara rantau Asia Barat termasuk Turkiye dan Jordan mulai 1 Disember depan.

Walau bagaimanapun beliau memberi jamian bahawa ada tapisan keselamatan untuk pelancong itu agar tiada kebocoran kemasukan melibatkan penjenayah dan pengganas.

“Langkah ini bakal beri lonjak hubungan kerjasama strategik,” katanya yang juga Presiden PKR ketika berucap pada penggulungan Kongres Nasional Tahunan Ke-17 parti itu di sini.

Inisiatif berkenaan tegasnya, selaras ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik dengan China dan negara-negara sahabat di Timur Tengah untuk datang bercuti di Malaysia.

Terdahulu, beliau juga mengumumkan hubungan dengan Singapura dipertingkatkan lagi malah sentimen prasangka isu lama yang pernah berlaku sebelum ini akan dibenamkan.

Justeru, menteri bagi hal ehwal ekonomi kedua-dua negara ujar beliau, akan meneroka kerjasama lebih pesat terutama projek zon ekonomi di sempadan yang bakal diwujudkan.

Beliau menambah Kerajaan Perpaduan mengambil sikap positif dan menerima perakuan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berhubung beberapa isu panas selama ini.

Ia termasuk kemelut harga bekalan air mentah yang dianggap berat sebelah, masalah ruang udara dan pertikaian sempadan maritim antara kedua-dua negara berjiran tersebut.

Sementara itu, Anwar juga mengumumkan pertemuan beliau dengan rakan sejawatannya dari Thailand, Srettha Thavisin di bandar sempadan Sadao dan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Esok saya akan ke sana dan kami berharap urusan perjalanan dua hala akan lebih baik dan cekap, sekali gus menggalakkan pelancongan wilayah bersempadan di situ,” katanya.

Beliau membayangkan akan berlaku lonjakan tempias ekonomi di negeri-negeri wilayah utara Semenanjung dan wilayah selatan Thailand yang akan memanfaatkan penduduk.

Pada masa sama, Anwar berharap, usaha berkenaan diharap dapat memberi kestabilan politik dan perdamaian berterusan di situ yang masih ketinggalan dari segi pembangunan.

Di samping itu, kemudahan prasarana lapangan terbang di Alor Setar, Pulau Pinang, Kota Bharu dan Senai akan ditingkatkan untuk menarik ramai pelawat antarabangsa datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya