PM lancar RFC ke-26, imbau pelancaran sulung pada 1997

Anwar lancar RFC ke-26, imbau pelancaran sulung pada 1997

ANWAR Ibrahim melepaskan peserta RFC di Dataran Putra di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Rainforest Challenge (RFC) Grand Final 2023 di Dataran Putra, di sini.

Anwar tiba di Dataran Putra kira-kira pukul 5.20 petang sebelum disambut oleh Pengasas dan Pengarah Rainforest Challenge & Rainforest Global Series, Luis J.A. Wee.

Perdana Menteri turut melepaskan 20 jentera pacuan empat roda termasuk berkesempatan menyantuni peserta, pegawai pengiring dan urusetia RFC di lokasi pelepasan biarpun dalam cuaca hujan.

Lebih unik, pelepasan edisi RFC ke-26 kali ini mengimbau kembali pelancaran edisi sulung RFC yang mana ketika itu dilancarkan oleh Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1997 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Bagi edisi kali ini, RFC Grand Final disertai 300 peserta dan mereka akan ‘berkampung’ di Perak bermula 1 hingga 11 Disember ini membabitkan laluan hutan dan kawasan pedalaman di Sungai Siput, Kuala Kangsar, Lenggong dan Gerik sebelum kembali ke Ipoh untuk majlis penutup pada 11 Disember.

Sementara itu, Luis berkata, ia satu kenangan buat RFC kerana edisi kali ini dilancarkan oleh Anwar, malah, Perdana Menteri turut mendoakan kelancaran edisi cabaran itu.

Menurutnya, Perdana Menteri juga berbangga apabila RFC itu dinobatkan tempat ke-3 daripada 10 pertandingan permotoran paling lasak di dunia sebaris dengan Dakar Rally, BAJA Race, Le Mans 24hr Race dan Isle of Man Race.

“Cabaran kali ini akan disertai peserta tempatan dan antarabangsa daripada 15 buah negara Russia, Mongolia, China, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Vietnam, India, Sri Lanka, Thailand, Jepun, Italy, Filipina, Indonesia.

“Sepanjang 26 kali penganjurannya, acara ini telah mencapai kejayaan dalam membantu mengharumkan nama negara di mata dunia dan seterusnya mempromosikan Malaysia sebagai hab pelancongan sukan permotoran lasak,” katanya.

Katanya, setiap tahun, RFC Grand Final dianjurkan di negeri-negeri terpilih semasa musim hujan monsun pada setiap hujung tahun.

Jelasnya lagi, setakat ini, RFC berjaya menarik pasukan, penggemar dan pengunjung dari Malaysia dan tidak kurang dari 25 buah negara asing.

Luis berkata, penganjuran RFC Grand Final di Perak merupakan kali kedua diadakan setelah kali pertama pada 2004 dan negeri itu dipilih kerana mempunyai pelbagai tarikan selain sesuai untuk aktiviti sukan permotoran lasak.

Katanya, penganjuran RFC Grand Final diharap dapat menonjolkan Malaysia dan Perak kepada peserta tempatan dan asing sebagai satu destinasi pelancongan yang paling menarik dan unik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya