PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datuk Mahmud Abbas dinobatkan sebagai CEO Of The Year dalam Majlis Anugerah 100 Most Influential Young Entrepreneurs (100 MIYE) baru-baru ini.
Anugerah yang disampaikan Pengerusi Penganjur, Datuk KK Chua ini diberikan bagi menghargai kepemimpinan dan kejayaan membawa entiti ke arah kecemerlangan dalam industri hartanah.
Menurut KK Chua, anugerah berkenaan juga merupakan platform usahawan daripada pelbagai kaum untuk mengiktiraf kejayaan mereka yang telah bekerja keras untuk berjaya dan berani mengambil risiko selain kemampuan menjadi pemimpin serta majikan yang dihormati pekerja.
“100 MIYE tahun ini meletakkan anugerah pada tahap yang lebih tinggi selaras dengan usaha menaik taraf pengetahuan, kemahiran dan corak pemikiran usahawan.
“Secara tidak langsung, ia membuktikan anugerah 100 MIYE bukan hanya satu pengiktirafan kepada usahawan tetapi turut menyediakan jaringan perhubungan bagi membantu membina hubungan yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Selain PKNS, Presiden dan CEO Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali turut menerima anugerah Leadership Excellence Award ekoran usaha dan menghargai pencapaian serta kecemerlangan tokoh korporat ini dalam bidang perbankan serta kewangan. – UTUSAN