GERIK: Beberapa kawasan di pintu sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) mengalami kesesakan apabila ramai rakyat Malaysia memilih bercuti ke negara jiran itu baru-baru ini.
Selain Bukit Kayu Hitam, Rantau Panjang, Wang Kelian dan Durian Burung, tinjauan mendapati ICQS Bukit Berapit, Pengkalan Hulu turut mengalami situasi yang sama.
Tinjauan Utusan Malaysia di ICQS di sini mendapati ribuan pelancong dari dalam negara mahu bercuti di Betong, Thailand menunggu untuk proses dokumentasi merentas sempadan.
Kesesakan juga berlaku di pagar sempadan di situ dengan kenderaan yang menunggu untuk proses dokumentasi hampir satu kilometer sejak pukul tujuh pagi.
Mereka bersesak di ICQS Bukit Berapit untuk memasuki Thailand dan mengambil kesempatan menghabiskan cuti hujung minggu serta cuti umum sempena Perayaan Deepavali.
Difahamkan, selain ICQS Bukit Kayu Hitam, mereka yang tinggal di daerah Alor Setar, Kulim, Pulau Pinang, Parit Buntar turut menggunakan ICQS Bukit Berapit untuk ke Thailand kerana proses dokumentasi mudah dan cepat kerana kesesakan tidak terlalu teruk berbanding ICQS yang lain.
Seorang pelancong tempatan yang mahu dikenali sebagai Muhamad, 39, berkata, dia bersama kumpulan motosikal kuasa tinggi dari Pahang datang untuk melancong ke Thailand telah menunggu hampir sejam untuk proses dokumentasi untuk memasuki pintu sempadan.
“Ini pertama kali saya masuk ke Thailand melalui Betong, ingatkan di sini tidak sesak, rupa-rupanya berlaku kesesakan juga tetapi tidaklah seteruk kesesakan di Bukit Kayu Hitam ataupun Rantau Panjang.
“Kami memilih Thailand untuk bercuti kerana perjalanannya jauh lebih mudah dan cepat serta kos untuk kenderaan tidak banyak dikeluarkan berbanding ke Langkawi yang perlu menaiki feri, lagipun kami dah sering ke Langkawi, kali ini kami pilih Thailand pula,” kata Muhammad.
Menurutnya, di Thailand lebih banyak tempat menarik boleh dikunjungi seperti Iyering Skywalk, Taman Bunga, Gua Komunis dan sebagainya.
Katanya, mereka juga akan terus ke Yala dan Narathiwat untuk melihat tempat-tempat sejarah berkaitan Kesultanan Melayu-Siam dan melihat kehidupan perkampungan orang Melayu di sana.
Selain itu, mereka juga tidak bimbang tentang status makanan kerana kebanyakannya adalah halal dan diusahakan oleh orang Melayu-Siam dengan harga yang berpatutan.
Aida Haris, 26, dari Alor Setar, pula berkata, dia suka ke Thailand hanya untuk menjamu selera kerana masakan panasnya yang original Siam seperti tomyam, pelbagai jenis kerabu, miangpla, siakap tiga rasa dan sebagainya.
“Di tempat kita pun ada masakan-masakan panas ala Thai ini, tetapi rasanya tidak sesedap masakan orang sana, lagipun harganya jika hendak dibandingkan di sini, ianya agak murah walaupun nilai mata wang kita rendah.”
“Lagipun, kami akan terus ke Iyerwing Skyway untuk merasai suasana sejuk dan melihat awan nano yang cantik serta melihat keindahan dan keajaiban matahari pagi muncul dicelah-celah awan dengan suasana yang amat tenang,” kata Aida.-UTUSAN