KEMAMAN: Pesakit yang menerima rawatan di wad Hospital Kemaman di sini akan diberi peluang untuk keluar mengundi sekiranya kesihatan mereka stabil pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pesakit yang layak mengundi itu perlu mendapat kelulusan daripada pegawai perubatan yang melakukan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.
Beliau berkata, pihak hospital akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membawa pesakit terlibat ke pusat pengundian masing-masing.
“Kita akan kerjasama dengan SPR, misalnya pesakit yang layak mengundi dan boleh mengundi, kita akan bantu memudahkan mereka untuk melakukan pengundian di tempat-tempat mengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Air Putih di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Zaliha tidak menyatakan jumlah pesakit yang layak mengundi sedang menerima rawatan di Hospital Kemaman.
Pada masa ini, Hospital Kemaman mempunyai sebanyak 100 katil pesakit.
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis dan sembilan anggota tentera pada 2 Disember ini.
PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lepas yang membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – UTUSAN