KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak yang baharu, Iskandar Turkee mengangkat sumpah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini hari ini.
Iskandar, 54, mengangkat sumpah dan menandatangani surat sebagai ADUN baharu di hadapan Yang Dipertua DUN Sarawak, Tan Sri Mohd. Asfia Awang Nassar dan disaksikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak pada 4 November lalu, Iskandar yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi kerusi itu dengan majoriti 8,784 undi.
Calon GPS, Iskandar memenangi kerusi tersebut dengan jumlah 9,638 undian menewaskan Stevenson Joseph Sumbang dari PBK (854 undi) dan Chieng Lea Phing dari ASPIRASI (431 undi).
Sebanyak 10,923 daripada 22,731 pengundi berdaftar memilih wakil rakyat baharu pada PRK DUN Jepak.
Sementara itu, pada persidangan DUN yang ke-19 hari ini, dua Rang undang-undang (RUU) Ombudsman Sarawak 2023 dan RUU Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) akan menjadi tumpuan pembentangan.
RUU Ombudsman Sarawak 2023 ini akan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan manakala RUU Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan, Datuk Sharifah Sayeed Aman Ghazali.-UTUSAN