Persiapan banjir: Cuti sebahagian anggota polis dibeku - Utusan Malaysia

Persiapan banjir: Cuti sebahagian anggota polis dibeku

Polis banjir
HUSSEIN Omar Khan dalam sidang akhbar di IPK Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Cuti sebahagian besar pegawai dan anggota polis di negeri ini akan dibekukan sebagai langkah persediaan bagi memastikan kawalan keselamatan dapat dilakukan jika bencana banjir berlaku sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua anggota dan pegawai di semua ibu pejabat polis daerah (IPD) di seluruh negeri diminta bersiap sedia dan turun ke lokasi banjir sekiranya berlaku bencana itu di bawah kawasan pentadbiran mereka. 

“Setiap daerah ada pasukan tersendiri yang akan bertugas secara bergilir dan sepanjang tempoh ini (sepanjang MTL) mereka tidak boleh bercuti.

“Kita juga mempersiapkan aset seperti kereta, lori dan bot yang akan digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) banjir,” katanya selepas sidang akhbar, hari ini.

Beliau menambah, lebih 20 anggota polis dan lebih 10 buah aset daripada empat IPD, iaitu IPD Kajang, Kuala Langat, Subang dan Sepang yang terlibat sepanjang operasi SAR banjir di Kampung Bangi Lama.

Menurutnya, beliau sendiri akan mempengerusikan mesyuarat persediaan banjir dengan beberapa agensi berkaitan esok bagi memperkemaskan operasi SAR.

“Buat masa sekarang ini, kejadian banjir (di seluruh Selangor) hanya di peringkat daerah, yang mana ia mampu ditangani oleh IPD itu. 

“Sebahagian besar anggota kini sedang giat menjalani latihan berenang, mengemudi bot dan tindakan melibatkan penyelamatan mangsa dalam air,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hussein menasihatkan mangsa banjir supaya mengikut arahan anggota pasukan keselamatan, seperti diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS). 

“Polis beri jaminan akan membuat rondaan secara berkala di tempat dinaiki air bagi mengelak kejadian jenayah pecah masuk rumah dan sebagainya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya