PETALING JAYA: Terkejut dengan pendedahan perpisahan pelakon, Mawar Rashid dan Raf Yaakob, aktres, Wawa Zainal tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya ketika mendengar khabar tersebut.
Kongsi Wawa, dia dan suami yang juga seorang pelakon, Aeril Zafrel tidak menyangka perpisahan itu terjadi kerana mereka merupakan pasangan yang sentiasa romantis dan saling menyayangi.
“Mula-mula memang terkejut sangat bila Raf berjumpa kami dan beritahu tentang perkara tersebut (perpisahan) sebelum berita itu viral.
“Kami sangat sedih dan kami pula seperti hendak menangis ketika itu. Mereka pasangan yang romantis dan baik-baik orangnya,”katanya.
Wawa dan Aeril ditemui ketika majlis pelancaran filem pertama terbitan syarikat produksi mereka, Klepet di sini hari ini.
Menolak dakwaan segelintir pihak perceraian tersebut disebabkan kehadiran orang ketiga, Wawa dan Aeril mendoakan semoga pasangan tersebut terbuka jika ditakdirkan kembali
“Bukan mudah sebenarnya untuk membuat keputusan sebegitu. Mungkin perpisahan adalah keputusan terbaik. Jujurnya, kami harapkan mereka akan kembali bersama.
“Mereka berpisah pun bukan disebabkan orang ketiga, tetapi ada masalah-masalah lain yang hanya mereka sahaja yang tahu.
“Jadi, kita sama-sama doakan manalah tahu ada sinar buat mereka. Kami belum sempat jumpa mereka lagi. Berilah mereka ruang untuk bertenang. Kami pun tidak mahu ganggu mereka,” jelas Wawa.
Untuk info, Wawa dan Aeril mendirikan rumah tangga pada November 2017 dan mengumumkan perpisahan mereka menerusi Instagram pada 23 November lalu.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan tiga orang cahaya mata, iaitu Raden Muhammad, 4, Raden Seri Rosabella Cinta, 2, dan Raden Seri Riyanna Sayang, 10 bulan.