Perlu naik taraf Jeti Nelayan Jeram Batu

Perlu naik taraf Jeti Nelayan Jeram Batu

TAJUDIN Othman (kanan), Mohd. Razi Rahman (kiri) dan Mohd. Nor Mohd. Yusof menunjukkan Jeti Nelayan Kampung Jeram Batu, Pekan Nanas, Pontian, Johor, yang perlu dinaik taraf.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Penduduk meminta kerajaan menaik taraf Jeti Nelayan Kampung Jeram Batu, Pekan Nanas, dekat sini yang bukan sahaja digunakan golongan nelayan, malah menjadi pangkalan bagi pengusaha yang menawarkan perkhidmatan memancing menyusuri Sungai Pulai.

Antara yang perlu diperbaiki ialah jalan masuk kira-kira 300 meter, membina semula jeti kayu dan menambah kawasan bot berlabuh.

Seorang penduduk, Tajudin Othman, 62, berkata, jalan masuk ke jeti nelayan tersebut perlu diperbaiki segera supaya memberi keselesaan kepada nelayan dan para pemancing.

Selain itu, dia mencadangkan supaya disedia tempat meletak kenderaan yang lebih luas bagi kemudahan pemancing kerana jeti itu menjadi tumpuan, khususnya pada hujung minggu dan cuti umum.

“Saya berharap ada pihak yang dapat membantu menaik taraf kemudahan di Jeti Nelayan Kampung Jeram Batu sesuai dengan keperluan semasa pada ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi Mohd. Razi Rahman, 27, jeti kayu itu perlu dibaiki bagi membolehkan nelayan turun ke laut dengan selesa dan selamat termasuk kepada para pemancing.

Katanya, Sungai Pulai itu mempunyai pelbagai jenis ikan seperti sembilang, tenggiri, jenahak, kurau selain udang yang menjadikan buruan golongan nelayan dan pemancing.

“Saya berharap jeti kayu ini diperbaiki segera serta pemasang penghadang di jeti utama bagi menjaga keselamatan para pemancing dan orang ramai yang berkunjung ke sini,” katanya sambil memberitahu kira-kira 40 bot berlabuh di situ.

Sementara itu, Mohd. Nor Mohd. Yusof meminta supaya kawasan melabuhkan bot diperluas di bahagian darat kerana ada yang terpaksa diletakkan di bawah pokok bakau.

Katanya, keistimewaan jeti tersebut ialah airnya tidak cetek dan surut bagi membolehkan nelayan dan pemancing turun ke laut pada bila-bila masa tanpa menunggu air pasang.

“Pihak berkenaan perlu memberikan perhatian terhadap Jeti Nelayan Kampung Jeram Batu ini kerana mampu memberikan tambahan ekonomi kepada penduduk setempat dengan kehadiran ramai kaki pancing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya