Perhimpunan Bersatu: Pimpinan bincang keputusan Muhyiddin - Utusan Malaysia

Perhimpunan Bersatu: Pimpinan bincang keputusan Muhyiddin

Muhyiddin
AHMAD Faizal Azumu bersama Muhyiddin Yassin dalam sidang akhbar selepas ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2023, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kepimpinan tertinggi Parti Bersatu akan mengadakan perbincangan lanjut susulan pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak mahu mempertahankan jawatan presiden parti itu pada pemilihan tahun depan.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan itu dianggap amat mengejutkan semua pihak terutama perwakilan dan akar umbi parti.

Menurutnya, pengumuman itu adalah kali pertama didengarinya sendiri daripada presiden bersama pimpinan kanan lain.

“Justeru, kita akan berbincang dan mencari jalan terbaik dengan turut mendapatkan pandangan daripada semua perwakilan.

“Kepentingan ahli dan suara akar umbi sememangnya akan dipertimbangkan,” katanya pada sidang akhbar selepas ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2023, hari ini.

Terdahulu, Terdahulu, suasana perhimpunan yang dihadiri lebih 2,000 perwakilan parti tersebut gamat apabila rata-ratanya membantah dan terkejut dengan pengumuman dibuat oleh bekas Perdana Menteri Ke-8 itu.

Ditanya sama ada mempunyai hasrat untuk bertanding sebagai presiden pada pemilihan kelak, kata Ahmad Faizal, beliau enggan memikirkan mengenai perkara itu ketika ini.

“Saya sememangnya masih amat terkejut dengan pengumuman tersebut. Beliau (Muhyiddin) adalah pengasas Bersatu dan saya sanggup mempertahankan beliau sehingga hujung nyawa,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, parti belum membuat sebarang keputusan bagi menerima cadangan mengenai keputusan tersebut.

“Kita sehingga kini memang tidak mencadangkan sesiapa pun (nama bakal presiden). Beliau tetap presiden kita,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pihaknya turut akan membuat bantahan dan akan membawa perkara itu dalam sesi perbahasan nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya