SHAH ALAM: Bersatu didakwa menjadi sasaran serangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) walaupun parti itu mempunyai 31 orang ahli parlimen berbanding rakan komponennya, Pas untuk disogok bagi menyokong mereka.
Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan dilihat tidak senang dengan partinya yang dikatakan kuat serta dianggap sebagai saingan utama.
“Adapun kekuatan yang kita bina selama ini adalah untuk menang dalam pilihan raya, namun perjuangan yang sebenar adalah keikhlasan dalam persahabatan, istiqamah dalam perjuangan, melangkah maju demi perubahan dan tidak berundur walau diasak dengan sogokan.
“Yang pasti, musuh politik tidak akan senang dengan kekuatan kita. Bersatu menjadi sasaran PH kerana Bersatu adalah saingan utama mereka,” katanya dalam ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Keenam 2023, hari ini.
Malah, beliau dengan tegas mengingatkan kerajaan bahawa tidak semua orang mudah dibeli atau disogok dengan laba.
“Jangan ingat semua orang boleh dibeli dan disogok dengan laba. Jangan goyah apabila parti kita ini diuji. Kita diuji kerana kita kuat. Kita diuji kerana tekad dan keteguhan kita. Kita diuji kerana keikhlasan kita memperjuangkan nasib rakyat.
“Justeru, jangan goyah dengan ujian kerana saat itulah martabat dan harakat kita sedang diangkat untuk kemenangan yang lebih besar pada masa hadapan.
“Jadikan iktibar dan pedoman daripada sirah lima orang Rasul, Nabi Muhammad SAW, Nabi Isa AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS dan Nabi Nuh AS, yang diangkat martabatnya oleh Allah SWT dengan gelaran Ulul Azmi kerana kecekalan dan ketabahan mereka dalam menghadapi liku-liku serta onak dan duri perjuangan,” jelasnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, empat Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri dengan memberi alasan demi mempertingkat pembangunan dan bantuan untuk kawasan ketika rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup.
Mereka ialah Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abd Rahman (Labuan).
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyarankan kepemimpinan dan ahli parti untuk mengambil sikap bertenang dan bermuhasabah dengan pencapaian mereka bersama Perikatan Nasional (PN).
“Saya juga ingin melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada teman sejati perjuangan kita yakni Pas dan Gerakan yang bersama-sama melayari bahtera perjuangan PN sehingga kita mengecapi kemenangan seperti hari ini.
“Idealisme dan jalur besar perjuangan Bersatu bertunjangkan cita-cita untuk memastikan negara ini makmur, demokratik, adil dan saksama serta prihatin rakyat.
“Keazaman untuk meneruskan cita-cita murni rakyat, iltizam politik dan prinsip perjuangan yang teguh adalah faktor kejayaan kita melakukan perubahan besar lanskap politik negara dengan lonjakan sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri yang lalu,” ujarnya. – UTUSAN