SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin menarik balik hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Bersatu selepas mendengar ucapan dan perbahasan perwakilan dan kepemimpinan parti.
Sebaliknya beliau membuat keputusan untuk memegang jawatan tersebut untuk satu penggal lagi yang dianggap terakhir.
“Sebenarnya, saudara kuasa yang paling besar saya hendak sebutkan dekat sini bukan perhimpunan agung, kuasa besarnya tidak bukan adalah isteri saya.
“Isteri saya hadir sejak beberapa hari lepas dan semalam duduk sampai akhir, dia text pada saya apa isteri saya kata stay another term, tak habis lagi. Ini dia kata, stay another term, jangan kecewakan mereka, they need you mereka ikhlas yang (sayang).
“Saya jawab yes I know, lepas itu saya kata so? Carry on, saya restu katanya.
“Bersatu still need you, masih belum kuat, jadi saya jawab pada dia, saya kata ok yang I will stay for the last term, dan dia jawab, Alhamdulillah, isteri saya kata terima kasih, this is for the nation, abah must stay on. Akur dan patuh.
“Jadi saya hendak menyatakan atas hasrat dan niat baik saudara saudari, pimpinan yang ada di atas semua yang ada di sini mungkin diluar sana saya membuat keputusan untuk menawarkan diri bertanding jawatan presiden bila sampai masanya nanti,” katanya pada akhir ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Keenam 2023, hari ini.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri itu dalam ucapan dasarnya pada perhimpunan tersebut menyatakan hasrat untuk tidak bertanding dalam pemilihan parti pada tahun hadapan bagi mengekalkan jawatan Presiden Bersatu.
Sebaliknya, menjelaskan bersedia mewariskan kepemimpinan parti kepada pelapis baharu bagi meneruskan perjuangan Bersatu. – UTUSAN