SHAH ALAM: Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu digesa untuk berunding bersama-sama dalam menentukan pemilihan termasuk jawatan presiden parti pada tahun hadapan bagi megelakkan perpecahan dalam kalangan ahli.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut perlu dibuat apabila kesemua jawatan tertinggi parti nanti dipertandingkan dalam pemilihan kepemimpinan bagi penggal akan datang.
Menurutnya, pengumuman yang dibuat dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Keenam 2023 itu bukanlah perletakan jawatan, sebaliknya beliau masih kekal sebagai presiden sehingga pemilihan baharu dibuat.
“Sampai tahun hadapan bila saya berucap saya masih lagi presiden parti. Ia akan berlaku selepas pemilihan, jadi saya memberi makluman awal dan saya sebutkan tadi hendak semua pemimpin yang akan mewarisi kepemimpinan untuk duduk bincang secara baik, setia kawan, berunding supaya bila ada keputusan pemilihan dibuat tidak akan ada perpecahan sebab masing-masing hendak merebut jawatan.
“Seperti saya cadangkan tadi, kita duduk bincang untuk mengelak perpecahan, bila ada pertandingan yang menang menang semua, yang kalah-kalah semua itu tidak baik, saya mahu semua orang ada peranan untuk dimainkan,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri Ke-8 mengumumkan tidak akan menawarkan diri sebagai calon untuk mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Bersatu pada pemilihan parti akan datang bagi memberi laluan kepada pelapis baharu.
Malah dalam ucapan dasarnya itu, beliau memberitahu perhimpunan tersebut adalah yang terakhir baginya di atas pentas itu sebagai presiden sebelum parti melalui proses pemilihan di peringkat bahagian.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh memaklumkan, keputusan yang diambil tersebut akan dirundingkan ke peringkat Perikatan Nasional (PN) sebelum memutuskan perlantikan pengerusi baharu dalam gabungan Bersatu, Pas dan Gerakan itu.
“Tak perlu runding (kepada Pas) sebab wakil Pas tadi pun sudah dengar. Akan sampai satu peringkat saya akan serahkan juga Pengerusi PN, itu saya akan serahkan kepada Jawatankuasa Tertinggi PN untuk memutuskannya,” jelasnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan tiada sesiapa akan pada ketika ini akan dicadangkan untuk menggantikan Muhyiddin sebagai presiden sebaliknya beliau akan kekal sebagai Presiden dan tidak meletakkan jawatan.
“Saya hendak maklumkan, tadi baru ucapan Muhyiddin jangan persoalkan kerana kita belum buat keputusan untuk tidak menerima. Dia tidak mahu mempertahankan dan kita tidak mencadangkan sesiapapun dan beliau tetap menjadi presiden kita,” tegasnya. – UTUSAN