SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan cuba membuat transisi peralihan kepemimpinan Bersatu dalam keadaan tidak sesuai apabila ketika ini masyarakat Melayu di negara ini didakwa dalam keadaan hilang kuasa.
Ini kerana, ahli-ahli parlimen dalam kerajaan termasuk daripada blok UMNO kini didakwa tidak lantang bercakap dan memperjuangkan nasib orang Melayu ketika berada dalam dewan rakyat termasuklah menyebut hal berkaitan Felda serta penjualan tanah oleh Boustead Plantation milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, UMNO ketika ini segan untuk bercakap tentang Felda serta memperjuangkan isu kerugian terhadap syarikat milik LTAT yang dihadapi sehingga memaksa penjualan ratusan hektar tanahnya.
“Mana suara sahabat-sahabat kita daripada UMNO. Betul kami tahu sahabat sekalian tidak selesa di sana, kami tahu kalau dahulu sewaktu dalam dewan (Dewan Rakyat) kita bercakap tentang Felda, kali ini boleh bilang dengan jari siapa bercakap dalam Felda, kerajaan hendak jawab isu Felda pun segan-segan.
“Kalau kita tahu penjualan tanah Boustead Plantation milik LTAT yang memperjuangkan supaya penjualan ini tidak teruskan adalah kami Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN). Yang menjadi menteri bertanggungjawab ke atas LTAT adalah Timbalan Presiden UMNO (Datuk Seri Mohamad Hasan).
“Di mana semangat perjuangan yang dilaung-laungkan, adakah kerana kesilapan pengurusan yang menyebabkan kerugian kepada LTAT melalui Boustead Plantation maka perlu digadaikan beratus-ratus ekar tanah. Itu sahaja tanah yang ada sekali tergadai habis terjual,” katanya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Keenam 2023, hari ini.
Sehubungan itu, Mohd. Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menjelaskan ketika mendepani isu-isu yang perlu diselesaikan dalam memperjuangkan nasib orang Melayu, bukan masa yang sesuai untuk Muhyiddin meninggalkan kepemimpinan parti.
“Dalam keadaan kapal kita sedang melalui badai yang besar penuh lanun, penjahat, penyamun kita tidak seharusnya bercakap tentang untuk bertukar nakhoda pada waktu ini. Ini bukan bercakap tentang pertukaran nakhoda.
“Kami mohon pertimbangkanlah biarlah badainya tenang, reda bagi lah melepasi perairan penuh lanun, penyamun dan penjahat dan selepas itu kalau hendak duduk bersembang kita sembang dan saya yakin semua di depan ini apa yang Tan Sri (Muhyiddin) cakap semua akan ikut dan patuh,” ujarnya. – UTUSAN