Pergolakan di utara Myanmar, 109 rakyat Malaysia terkandas

Pergolakan di utara Myanmar, 109 rakyat Malaysia terkandas

PERTEMPURAN antara junta tentera dan kumpulan bersenjata etnik minoriti semakin mengganas sejak beberapa minggu lalu. - AGENSI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri mengesahkan seramai 109 orang warganegara Malaysia dilaporkan terkandas di bandar Laukkaing terletak di utara Myanmar susulan pergolakan yang berlaku di wilayah tersebut.

Wisma Putra berkata, rata-rata rakyat Malaysia yang dilaporkan terkandas itu dipercayai mangsa kepada sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dan Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming sedang menyelaras usaha menyelamat.

“Usaha itu dilaksanakan bersama Kementerian Luar Negeri Myanmar dan Kementerian Luar Negeri China.

“Ia sebelum memuktamadkan urusan membawa pulang kesemua warganegara Malaysia terlibat dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wisma Putra berkata, usaha terbabit turut mendapat kerjasama Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Jelasnya, Kementerian Luar Negeri terus meningkatkan usaha bagi menangani masalah warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

“Kami sekali lagi ingin mengingatkan rakyat Malaysia yang berminat mendapatkan pekerjaan di luar negara supaya berhati-hati dan mengesahkan bidang atau bentuk kerja yang ditawarkan,” jelasnya.

Susulan itu, katanya, rakyat Malaysia di Myanmar yang memerlukan bantuan dan pertanyaan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Yangon menerusi talian 00 951 220 230.

Pada awal bulan ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan mengenai pertempuran sengit di antara junta tentera dan pakatan kumpulan etnik minoriti di utara Myanmar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya