IPOH: Perjanjian kerjasama antara Perak FC dan Borneo FC Samarinda yang dimeterai pada 26 Oktober lalu mula dilaksanakan apabila pasukan Seladang akan bertandang ke Kepulauan Borneo mulai Rabu ini.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri, Abdul Azim Mohd Zabidi mengesahkan perkara itu.
Menurutnya, seperti yang dijanjikan dalam MoU pada 26 Oktober lalu, kedua-dua pasukan akan mengadakan perlawanan persahabatan.
“Pasukan dan pihak pengurusan akan bertolak pada Rabu untuk perlawanan persahabatan dengan Borneo FC di Balikpapan.
“Besar kemungkinan kami akan menandatangani perjanjian persefahaman dengan Borneo FC untuk pembangunan belia,” katanya.
Abdul Azim berkata, sepatutnya dua perlawanan diadakan iaitu dengan Serpong City FC pada 16 November dan Borneo City Samarinda, dua hari kemudian.
“Hanya satu perlawanan akan diadakan iaitu dengan Serpong City, satu lagi perlawanan belum pasti,” ujarnya.
Borneo FC Samarinda merupakan pendahulu Liga 1 Indonesia.
Perjanjian kerjasama yang dimeterai di antara kedua-dua pasukan merupakan usaha untuk meningkat kualiti bola sepak di rantau ini.
Kerjasama yang dijalin itu meliputi pelbagai usahasama termasuk mengadakan perlawanan persahabatan timbal balik di kedua-dua negara selain mempromosikan budaya semangat kesukanan di antara kedua-dua kelab berkenaan.
Selain itu, mereka juga akan meneroka peluang bersama melibatkan pengiklanan, penajaan, kempen pemasaran dan jualan produk untuk memaksimumkan pendapatan kelab. – UTUSAN