Penyelidikan Mardi mampu kurang import bawang

Penyelidikan Mardi mampu kurang import bawang

MOHAMAD ZABAWI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) optimis penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan pihaknya mampu mengurangkan kebergantungan kepada import bawang negara dalam tempoh lima tahun.

Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, pihaknya menjalankan penyelidikan bawang secara intensif sejak 2020 bagi memperkenalkan dan meningkatkan produktiviti pengeluaran bawang merah dalam agroklimat negara melalui tindakan inovasi dan R&D.

Katanya, usaha itu ekoran krisis bekalan bawang import akibat bencana banjir besar di India pada tahun 2020 yang mengakibatkan harga jualan bawang meningkat sehingga tiga kali ganda daripada RM3 sekilogram kepada RM16 per kilogram,

“Strategi kajian yang dijalankan melibatkan pembangunan teknologi pengeluaran bawang merah ke arah peningkatan produktiviti, adaptasi tanaman di tanah rendah, pengurangan masalah perosak, penyakit dan kerosakan lepas tuai serta pengukuhan pemasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zabawi menambah, tiga varieti bawang merah berjaya dilancar bersempena Show Tech Mardi 2023 pada Ogos lalu iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 iaitu hasil daripada kajian pengadaptasian dan penilaian terhadap koleksi bahan genetik kajian terdahulu, koleksi pasaran tempatan, syarikat biji benih dan agensi penyelidikan antarabangsa.

Katanya, ketiga-tiga varieti bawang merah Mardi sesuai ditanam di tanah rendah dengan tanah yang berbeza iaitu mineral, BRIS dan gambut.

“Kualiti bawang merah diperoleh adalah sama seperti bawang import di pasaran iaitu bersaiz 25-35 sentimeter, berwarna merah terang dan menarik, segar dan tahan kepada serangan serangga dan penyakit, serta mampu mengeluarkan hasil sekitar 4-6 tan/hektar,” katanya.

Jelas Mohamad Zabawi, Mardi kini sedang giat mengkomersialkan pengeluaran benih dan bahan tanaman utama bawang merah dalam usaha meluaskan tanaman ini di dalam negara agar teknologi ini mampu berdaya saing, demi memastikan kedaulatan makanan terjamin serta meningkatkan ekonomi negara.

Tambah beliau, pengkomersialan pengeluaran bawang merah Mardi akan bermula pada awal tahun hadapan dengan tumpuan kepada pengeluaran benih dan perluasan kawasan di plot-plot usahawan tani.

“Mardi kini dalam fasa permulaan dengan menghasilkan benih-benih bawang dari bawang yang ditanam di sebidang tanah berkeluasan satu hektar di Ibu pejabat Mardi untuk kita edarkan kepada petani-petani yang kita telah kenal pasti untuk mereka mulakan penanaman bawang.

“Pada tahun hadapan, Mardi dengan bantuan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga bercadang untuk kembangkan plot-plot tanaman bawang sehingga 20 hektar kepada usahawan tani yang berminat di seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau mernambah, Mardi berhasrat untuk mempertingkatkan kepada 40 hektar pada 2025 dan seterusnya meningkat kepada 100 hektar menjelang tahun 2030.

Katanya, sekiranya setiap hektar tanah dapat menghasilkan bebawang kering sebanyak lapan tan, sejumlah 40 hektar boleh menjana hasil 320 tan bawang sekali gus mengurangkan kebergantungan import dari negara luar dalam masa lima tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya