KUALA NERUS: Seorang pensyarah institut pendidikan guru (IPG) di sini meninggal dunia selepas rebah ketika bermain tenis di tempat kerjanya, kira-kira pukul 6 petang semalam.
Mangsa, Tengku Norazlan Tengku Sulaiman, 51, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba sejurus menerima panggilan kecemasan.
Menurut rakan mangsa, Yahaya Osman, 62, kejadian berlaku ketika mereka sedang bermain tenis bersama tiga lagi rakan sebelum Tengku Norazlan tiba-tiba rebah.
Bekas pensyarah di IPG sama itu berkata, mangsa kemudiannya dilihat tercungap-cungap selama beberapa minit sebelum mereka pergi mencari bantuan.
“Kami kerap bermain tenis dua atau tiga kali seminggu dan semalam, arwah baru pulang menghadiri program di Kemaman sebelum datang ke IPG dari rumahnya.
“Selepas setengah jam bermain, arwah rebah dan nafasnya tercungap-cungap lalu saya bergegas ke Klinik Kesihatan Wakaf Tengah untuk mendapatkan ambulans.
“Rakan-rakan lain pula menghubungi talian 999 sebelum pasukan perubatan tiba dan mengesahkan dia sudah meninggal,” ujarnya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurut Yahaya, kejadian itu mengejutkan kerana mangsa seorang yang sihat selain terlibat dengan persatuan sukan peringkat negeri sejak mengenalinya 10 tahun lalu.
Tambahnya, kali terakhir mereka bermain tenis di gelanggang IPG tersebut ialah pada minggu lalu dan arwah seperti biasa mahu bermain bersama rakan-rakan, semalam.
“Sepanjang mengenalinya, arwah seorang yang aktif bersukan malah disenangi bukan sahaja oleh rakan-rakan malah dalam kalangan pelajar.
“Jadi kejadian ini sangat mengejutkan lebih-lebih lagi arwah memang bersemangat untuk turun bermain petang ini (semalam)” ujarnya. – UTUSAN