PETALING JAYA: Pelakon Harapan Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27, Anas Ridzuan, 34, berpandangan pemotongan terlalu banyak babak tidak mendatangkan kebaikan sebaliknya hanya akan menjejaskan jalan cerita sesebuah filem.
Katanya, justeru penapisan yang terlalu banyak dianggap tidak perlu kerana penonton filem tidak akan hadir ke panggung semata-mata mahu mencari salah atau sengaja mencipta provokasi.
“Negara luar sudah pun menyentuh isu yang sangat sensitif menerusi filem mereka. Jeling sahajalah Indonesia, banyak sudah pencapaian mereka dan kita seperti ketinggalan jauh.
“Kita mahu kejar ke Oscar, tapi isu penapisan begini pun tidak selesai dan menyebabkan karya kita jauh ke belakang.
“Penonton kita sudah matang dan mereka tahu untuk menilai sesuatu karya khususnya yang mengkritik atau menyindir perkara tertentu. Dari situ kita melihat moral dalam filem tersebut,” jelasnya.
Kata Anas lagi, Oleh itu, LPF perlu menimbang semula prosedur juga ahli yang benar-benar berkelayakan bagi menganalisa sesuatu naskhah.
Pada pandangannya perkara ini penting agar pengkarya berbakat besar tidak menganggap kewujudan badan penapisan hanyalah sebagai sebuah pisau yang akan menyembelih karya dan semangat mereka hidup-hidup di depan mata.