KEMAMAN: Seorang peniaga maut manakala isterinya cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka merempuh sebuah kereta yang mengelak sekumpulan monyet dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 314.5, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran Plaza Tol Kerteh, dekat sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 petang, Tengku Shaharulhisham Tengku Yahya, 51, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan parah di kepala manakala isterinya, Nor Azlina Hamzah, 44, mengalami luka di tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian, mangsa yang memandu kenderaan Perodua Myvi sedang dalam perjalanan dari kediamannya di Taman Alam Perdana, Binjai menghala ke Dungun, dekat sini, untuk urusan kerja.
Menurutnya, sebuah lagi kenderaan iaitu Volkswagen Golf GTI 2.0, yang dipandu seorang Eksekutif Tenaga Nasional Berhad sedang dalam perjalanan dari arah sama menuju ke kediamannya di Seberang Marang, Marang.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila Volkswagen Golf GTI yang dipandu wanita berusia 41 tahun di lorong sebelah kiri tiba-tiba mengubah lorong ke kanan jalan kerana mengelak sekumpulan monyet di lorong kiri lebuh raya itu.
“Mangsa yang berada di belakang kenderaan itu gagal mengelak dan terlanggar bahagian belakang Volkswagen tersebut sebelum terbabas ke kiri jalan dan terlanggar penghadang besi kiri lebuh raya,” katanya.
Hanyan berkata, pelanggaran itu menyebabkan Tengku Shaharulhisham disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
“Isterinya hanya cedera ringan manakala pemandu Volkswagen tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN