Peniaga baju kurung perdaya pembeli didenda RM12,500 - Utusan Malaysia

Peniaga baju kurung perdaya pembeli didenda RM12,500

MOHD. Sopri Togil didenda RM12,500 oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan memperdaya pembeli serta tidak mendedahkan nombor pendaftaran perniagaan, kira-kira tujuh bulan lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang peniaga dalam talian didenda RM12,500 oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini setelah menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan memperdaya pembeli serta tidak mendedahkan nombor pendaftaran perniagaan, kira-kira tujuh bulan lalu.

Mohd. Sopri Togil, 47, dari Taman Muhibbah, Sitiawan dekat sini, membayar denda tersebut selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret T. Kavita.

Dia didenda RM10,000 selepas mengaku salah menerima bayaran RM158 untuk sehelai baju kurung tetapi tidak membekalkan baju itu kepada Nur Sabrina Aiman Mohd. Rosszi pada 31 Mac lalu, seperti diminta.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di No. 15, Jalan Lumut, Sitiawan, pada pukul 4.44 petang 1 Februari lalu.

Mohd Sopri didakwa melakukan pelanggaran Seksyen 16(c) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25(1)(b) akta sama, yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Dia kemudian didenda RM2,500 kerana sebagai pemilik tunggal perniagaan Seri Kenanga Enterprise yang menjalankan perniagaan baju kurung di laman web Kenanga Apparel Store, dituduh gagal mendedahkan maklumat berkaitan nombor pendaftaran perniagaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Manjung pada pukul 1.10 tengah hari 12 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan- peraturan Perlindungan Pengguna (Urusniaga Perniagaan Elektronik) 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 145(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan selama tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pada 15 Mei lalu, Mohd. Sopri dan isterinya, Massuwati Amran, 46, tidak mengaku salah terhadap kedua-dua tuduhan tersebut.

Mohd. Sopri bagaimanapun menukar pengakuan kepada bersalah ketika kes itu disebut semula hari ini manakala Massuwati kekal dengan pengakuan tidak bersalah.

Kavita kemudian menetapkan 7 Disember ini untuk kes Massuwati disebut semula bagi membolehkannya mengemukakan representasi berkaitan tuduhan tersebut.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syazwani Zawawi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam S. Dharmanathan.

Terdahulu, dalam rayuannya, Mohd. Sopri memohon hukuman denda minimum kerana jumlah wang terlibat hanya RM158 dan mangsa sendiri tidak membuat laporan polis.

Dia yang mempunyai tiga anak yang masih bersekolah menyatakan tidak dapat menjalankan perniagaan disebabkan kes tersebut dan kini sudah insaf serta tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN