SINTOK: Kejadian kepala air di Sungai Sintok, di sini petang semalam mengakibatkan seorang pengusaha tapak perkhemahan kerugian lebih RM20,000 kerana perlu menutup operasi bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan.
Menurut Mejar (B) Mustafa Musa, 62, langkah itu terpaksa diambil berikutan lokasi tersebut dipenuhi lumpur serta sisa-sisa kayu.
“Pada cuti perayaan Deepavali sehingga Disember ini memang banyak tempahan tetapi saya terpaksa batalkan semua kerana keadaan ini.
“Lagi pun, saya tak berani tanggung risiko jika kejadian sebegini berulang ketika lokasi ini dipenuhi pengunjung,” katanya ketika ditemui di Bukit Kachi, di sini hari ini.
Katanya, pihaknya mengambil keputusan untuk menutup operasi selama dua minggu.
“Sepanjang tempoh itu, kami akan melakukan kerja-kerja pembersihan dan baik pulih,” ujarnya.
Destinasi tersebut sebelum ini cukup dikenali kerana kejernihan sungainya selain kewujudan sebuah surau yang dibina dengan batu sungai oleh pengusaha di situ.
Menceritakan mengenai kejadian tersebut, Mustafa berkata, kejadian kepala air berlaku selepas hujan lebat selama dua jam bermula kira-kira pukul 4.20 petang.
Katanya, kepala air itu turut membawa batu, kayu serta lumpur.
“Sebelum itu terdapat sekumpulan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) berkhemah di kawasan ini dan mujurlah mereka pulang awal sebelum cuaca berubah mendung.
“Air sungai berubah menjadi cukup laju dan memasuki surau, chalet serta dewan makan. Banyak barangan diwakafkan pengunjung seperti sejadah, permaidani dan perabot musnah malah dua all-terrain vehicle (ATV) turut rosak teruk,” ujarnya.
Tambahnya, kejadian berlaku sangat pantas iaitu hanya dalam tempoh lima hingga 10 minit.
“Dalam tempoh itu, tak banyak yang dapat kami selamatkan. Sebelum ini tak pernah berlaku kejadian kepala air yang membawa air setinggi ini di sini,” katanya. –UTUSAN