Penglibatan belia mampu 'meremajakan' sektor pertanian - Utusan Malaysia

Penglibatan belia mampu ‘meremajakan’ sektor pertanian

CHAN Foong Hin (tengah) melawat gerai jualan yang menyertai Program Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) Tahun 2023 selepas program Town Hall Pemimpin Bersama Warga Agro Madani di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Persepsi belia terhadap bidang pertanian perlu terus diperbaiki bagi meningkatkan lagi penglibatan golongan itu sekali gus berupaya ‘meremajakan’ sektor tersebut.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, golongan belia merupakan aset negara kerana mereka adalah pewaris yang akan meneruskan kesinambungan pembangunan selain menjadi sumber tenaga kerja yang penting bagi negara.

Namun katanya, perkembangan industri pertanian negara menunjukkan kurangnya penglibatan golongan belia di negara ini dalam aktiviti pertanian.

“Kerjaya dalam sektor pertanian kini semakin diambil alih oleh tenaga kerja warga asing kerana faktor belia yang kurang meminati bidang ini ekoran tanggapan negatif masyarakat yang merasakan ia tidak begitu gah berbanding sektor lain.

“Sekiranya negara masih bergantung kepada tenaga kerja asing dan peladang yang berusia dalam bidang pertanian, dikhuatiri tiada pelapis dalam bidang ini dan ini akan membawa kesan negatif kepada kelangsungan sektor agromakanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Town Hall Pemimpin Bersama Warga Agro Madani di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.

Menurut beliau, sektor pertanian sebenarnya mampu memberikan pulangan lumayan sekiranya ia dilakukan secara serius dan betul.

Malah katanya, kerajaan sentiasa memandang serius dan menawarkan pelbagai bantuan untuk memberi dorongan kepada golongan belia agar boleh merealisasikan matlamat yang telah ditetapkan negara dalam industri pertanian termasuk mengeksport produk-produk agromakanan ke luar negara.

“Kerajaan sentiasa menggalakkan lebih banyak pihak untuk mengambil peluang menceburkan diri dalam industri francais negara yang dilihat mempunyai potensi besar untuk terus berkembang,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran ‘town hall’ tersebut, beliau berkata, penganjuran program itu menjadi antara medium perkongsian informasi, teknologi dan inovasi serta pengalaman pemimpin-pemimpin yang terlibat dalam sektor agromakanan bersama warga belia Agro Madani.

Beliau berkata, program berkonsepkan santai ilmiah itu juga bertujuan mencari jalan penyelesaian di samping memupuk minat belia di negara ini bagi menceburi sektor pertanian dengan pengenalan dan penggunaan teknologi yang mampu mengurangkan kos dalam pelaksanaan projek.

“Selain itu, penganjuran sesi seperti ini diharap dapat memberi panduan, ruang dan peluang kepada mereka yang berminat terutamanya golongan belia untuk bersama dalam sektor pertanian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya