PETALING JAYA: Kesedaran orang ramai terhadap kesedaran dan pemahaman untuk melaporkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dipertingkat dengan penglibatkan aktif seluruh masyarakat menerusi kerjasama 8,397 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara.
Menurut kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Anak Dagang, pihaknya dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia serta Pesuruhjaya Kanak-Kanak berkerjasama meningkatkan kesedaran mengenai kewajipan melaporkan maklumat jenayah seksual kanak-kanak selaras Seksyen 19 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Katanya, kerjasama berkenaan juga diharap menggalakkan penyertaan aktif dalam menerajui inisiatif keselamatan komuniti yang dapat menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan komuniti dengan secara keseluruhan.
“Pada masa kini, terdapat 8,397 KRT di seluruh Malaysia mempunyai potensi besar bagi pendekatan berteraskan pembangunan kesejahteraan komuniti ini. Ketika ini, Kementerian Perpaduan Negara telah pun menjalankan pelbagai aktiviti pencegahan penderaan kanak-kanak peringkat komuniti melalui KRT dan Tadika Perpaduan.
“Usaha bersama ini bertujuan untuk memperkasa setiap rakyat Malaysia untuk menjadi pelindung hak kanak-kanak. Dengan memupuk rasa tanggungjawab bersama, dipercayai bahawa semua lapisan masyarakat boleh menyumbang secara kolektif kepada persekitaran yang lebih selamat dan terjamin untuk anak-anak kita,” kata kenyataan itu hari ini.
Kata kenyataan sama lagi, pemerkasaan dan perlindungan hak kanak-kanak di Malaysia adalah tanggungjawab setiap rakyat dengan semua lapisan lapisan melalui KRT boleh memainkan peranan penting dalam menangani dan membanteras jenayah terhadap kanak-kanak serta meningkatkan kesedaran awam berkenaan isu dan hak di dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Kerajaan Perpaduan komited untuk memastikan mana-mana undang-undang yang digubal diimplementasi secara efektif dan pada masa yang sama, meningkatkan kesedaran rakyat terhadap tanggungjawab bersama untuk mencapai sebuah masyarakat madani,” katanya. – UTUSAN