Pengasuh rakyat Indonesia didakwa abai Qaseh Aulia

Pengasuh rakyat Indonesia didakwa abai Qaseh Aulia

MULYATI Kalim dibawa oleh anggota polis ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi menghadapi pertuduhan mengabai Qaseh Aulia Faizul sehingga mengakibatkan kematiannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pengasuh warganegara Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabai bayi perempuan, Qaseh Aulia Faizul yang berusia dua bulan 26 hari, sehingga membawa kepada kematiannya, bulan lalu.

Bagaimanapun tertuduh Mulyati Kalim, 51, yang merupakan warganegara Indonesia mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, Mulyati didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga bayi bernama Qaseh Aulia Faizul yang berusia dua bulan 26 hari, telah mengabaikan bayi tersebut dengan meninggalkannya tanpa pengawasan sehingga membawa kepada kematian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di Jalan Cecawi, Kota Damansara di sini pukul 9.40 pagi pada 10 Oktober lalu.

Juteru pendakwaan dikemukakan mengikut dibawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, P. Vitiya Monisha tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh kerana kes itu sangat serius sehingga membawa kepada kematian seorang bayi.

“Bagaimanapun, jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan, kami mencadangkan kadar itu ditetapkan sebanyak RM20,000 beserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri ke balai polis terdekat.

“Memandangkan tertuduh seorang warga asing, pasport juga perlu diberikan kepada mahkamah,” katanya.

Sementara itu, peguam, Badrul Munir Bukhari merayu agar anak guamnya dibenarkan jamin dengan ikat jamin rendah.

“Mulyati tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri kerana telah berkahwin dengan warga tempatan selain mempunyai empat anak termasuk seorang anak angkat. Susulan kejadian ini, dia tidak lagi bekerja kerana taska berkenaan telah ditutup,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan menetapkan 21 Disember ini bagi sebutan kes.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport selain dilarang menganggu saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.

Pada 17 Oktober lalu, media melaporkan seramai enam individu dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi perempuan berusia dua bulan di sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, bagaimanapun pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian bayi itu.

Media turut melaporkan seorang pengasuh wanita ditahan polis bagi membantu siasatan kematian seorang bayi perempuan berusia dua bulan di sebuah taska di Kota Damansara, di sini, Selasa lalu.

Mohamad Fakhrudin dilaporkan berkata, wanita warga asing berusia 40-an yang berkahwin dengan warga tempatan itu dibebaskan dengan jaminan polis.

Sementara itu, ibu bayi perempuan tersebut menerusi sebuah video di Instagramnya @asharosli mendedahkan berkenaan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) keadaan anaknya sebelum didapati meninggal dunia dipercayai kecuaian pengasuh.

Dakwanya, kejadian malang itu terjadi pada hari kedua Qaseh Aulia yang berusia dua bulan, dihantar ke sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara, di sini pada 10 September lalu.

Dia mendakwa, anak perempuannya itu tidak sedarkan diri dipercayai berpunca kesukaran bernafas kerana dibiarkan dalam keadaan meniarap tanpa pengawasan selama sejam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN