Pengasuh mengaku tak bersalah aniaya bayi

Pengasuh mengaku tak bersalah aniaya bayi

TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang Selangor. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menganiaya seorang bayi perempuan berusia empat bulan sehingga cedera di Dengkil, Rabu lalu. 

Tertuduh, Nur Anis Idayu Mohd Khir @ Mohd Khari, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Dr. Azrol Abdullah. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, suspek didakwa menganiaya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap seorang bayi perempuan di bawah pemeliharaannya. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kediaman di Jalan Southville, Southville City, Dengkil di antara pukul 11 pagi hingga 5.43 petang, 15 November lalu. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shazwani Abdullah manakala tertuduh, diwakili peguam, Mohd. Ridzwan Warisi. Sebelum itu, Nor Shazwani tidak menawarkan sebarang ikat jamin memandangkan kesalahan di bawah seksyen berkenaan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan satu jumlah jaminan yang tinggi iaitu RM20,000 sekiranya mahkamah ingin membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh. Mohd. Ridzwan memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan wanita itu seorang suri rumah dengan pendapatan bulanan kira-kira RM350 sebagai pengasuh kanak-kanak. 

Peguam tertuduh turut memohon mahkamah memberikan jaminan minimum atas alasan tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan tidak mendekati saksi atau mangsa memandangkan sudah berpindah ke rumah kakak iparnya. 

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat iaitu dilarang mendekati dan mengganggu saksi serta mangsa.

Sebutan kes ditetapkan 20 Disember ini untuk serahan dokumen. Terdahulu, tertuduh yang memakai baju kurung berwarna hijau dengan ditemani suami dilihat menangis teresak-esak sambil memeluk kakak iparnya. 

Pada 19 November lalu, media melaporkan seorang bayi perempuan berusia empat bulan mengalami patah paha kanan dipercayai dipulas pengasuh ketika dalam jagaan wanita berusia 25 tahun di Dengkil, Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN