Pengarah syarikat bebas tuduhan pecah amanah, AMLA

Pengarah syarikat bebas tuduhan pecah amanah, AMLA

LAU Kok Loon tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi keputusan kes pecah amanah dan AMLA. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang pengarah syarikat pembinaan daripada pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram masing-masing melibatkan wang RM7.6 juta dan RM9.1 juta, 10 tahun lalu.

Hakim Datin Sabariah Othman memutuskan demikian tanpa memanggil Pengarah Semenyih Sdn. Bhd, Lau Kok Loon, 80, membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

“Saya bersetuju siasatan dilakukan tidak lengkap menyebabkan banyak maklumat penting tidak disiasat dan tertuduh dinafikan untuk mendapatkan perbicaraan adil tanpa prejudis.

“Seperti dihujahkan pihak peguam bela tertuduh, saya bersetuju pertuduhan adalah cacat dan tidak sah.

“Mahkamah mendapati kes prima facie gagal dibuktikan, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Kok Loon didakwa telah melakukan pecah amanah iaitu empat keping cek Hong Leong Bank miliknya yang keseluruhan berjumlah RM7,608,167.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Sungai Besi di sini pada 27 Ogos dan 3 September 2013 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kok Loon didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang melalui akaun simpanan tetap Hong Leong Bank miliknya kepada akaun simpanan semasa bank sama yang juga miliknya melalui 34 transaksi pemindahan berjumlah RM9,155,644.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hong Leong Bank cawangan utama Kuala Lumpur, Tingkat 1, Wisma Hong Leong, Jalan Perak, di sini, antara 4 Disember 2013 dan 19 September 2017.

Pendakwaan mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Subseksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini Kok Loon diwakili peguam Lee Keng Fatt manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd. Razak.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 27 Julai 2020 seramai 10 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN