PETALING JAYA: Kejayaan meraih lapan pingat emas, sembilan perak dan 10 gangsa dalam Kejohanan Menembak Asia Tenggara ke-45 yang berakhir pada 17 November lalu menyaksikan Malaysia berpotensi besar mencipta kejutan pada Sukan SEA 2025.
Kejohanan yang berlangsung di Taiwan itu membariskan lebih 30 peratus atlet baharu yang kali pertama membuat penampilan di pentas antarabangsa, beroleh pendedahan terbaik untuk beraksi dalam pertandingan yang lebih kompetitif selepas ini.
Ketua Jurulatih, Muhamad Zubair Mohammad berkata, selain pungutan 27 pingat yang memberangsangkan, skuad muda ini juga berjaya membuktikan kemampuan mereka walaupun kurang berpengalaman, namun mereka mampu mengendali tekanan sehingga meletakkan Malaysia di tangga ketiga terbaik daripada lapan negara bertanding.
Tegas Zubair, rata-rata atlet turut menunjukkan peningkatan terutama ketika keputusan sebelum menembak dan mengenal pasti kelemahan serta kelebihan mereka dalam usaha menambah markah peribadi.
“Alhamdulillah, majoriti atlet menunjukkan peningkatan prestasi catatan mata dan ini perkembangan yang sangat positif walaupun hampir separuh dari pasukan ini merupakan atlet baharu dan pertama kali bertanding di pentas antarabangsa.
“Lebih dari 30 peratus penyertaan melakukan tembakan markah peribadi yang baru (rekod peribadi baharu) dalam kejohanan ini. Bakat muda yang kita ada kali ini berjaya menunjukkan perubahan baharu dalam aksi mereka.
“Kita dapat lihat corak permainan generasi muda ini sangat konsisten, kawalan mental yang lebih stabil serta daya membuat keputusan yang pantas.
“Ini pembaharuan yang bagi saya secara peribadi, perlu dijaga rapi dan dibantu dengan pengetahuan yang lebih mendalam agar mereka dapat menambah prestasi seiring dengan perkembangan peringkat antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN