GUA MUSANG: Kira-kira 800 penduduk Kampung Seberang Lembaga di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, di sini gempar dengan kemunculan harimau belang selepas menemukan kesan tapak kaki haiwan itu berhampiran rumah penduduk, petang semalam.
Penghulu Mukim Nordin Mat Yusoff, 48, berkata, penduduk kini hidup dalam ketakutan susulan penemuan tapak kaki harimau belang sebesar tapak tangan manusia.
Katanya, penduduk telah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berhubung kejadian tersebut.
“Anggota Perhilitan sudah datang untuk melihat kesan di lokasi tempat penduduk menjumpai tapak harimau terbabit.
“Buat masa ini saya menasihatkan pekebun supaya sentiasa berhati-hati terutama apabila keluar pada waktu malam dan mereka diminta tidak ke kebun buat sementara waktu. Jika perlu ke kebun untuk sebarang urusan penting perlu berteman atau pergi secara berkumpulan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Seberang Lembaga di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya sudah ke lokasi kejadian selepas menerima aduan daripada penduduk kampung.
Katanya, ukuran tapak harimau belang sudah diambil anggota yang telah pergi ke lokasi kejadian pagi ini dan pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut.
Semalam, akhbar ini melaporkan seorang pemuda berdepan detik cemas apabila terus berlari dengan berkaki ayam sejauh 100 meter selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh seekor harimau belang yang tiba-tiba keluar dari kawasan hutan di Jalan Gua Musang-Jeli di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, Muhammad Zulhilmi Mokhtar, 26, yang menunggang motosikal jenis Honda C70 sedang dalam perjalanan ke Sungai Terah di sini untuk bermain badminton. – UTUSAN