PONTIAN: Kira-kira 2,000 penduduk di empat buah kampung iaitu Parit Haji Siraj, Parit Haji Wahab , Pt Haji Omar dan Parit Kayu Ara Pasong berhadapan ancaman 50 anjing liar sejak kebelakangan ini.
Penduduk mendakwa anjing liar itu sebelum ini dipelihara oleh pekerja asing Indonesia untuk menjaga kebun nanas dari gangguan binatang seperti monyet.
Seorang penduduk, Daud Salam, 55, berkata, apabila pekerja asing tersebut balik ke negara mereka, anjing-anjing ini terbiar dan mengganggu penduduk di kawasan berhampiran.
Katanya, anjing-anjing ini akan menyelongkar sisa-sisa makanan yang dibuang dan menyebabkan penduduk merasa bimbang mengenai keselamatan keluarga masing-masing.
“Setakat ini belum ada kejadian tidak diingini berlaku, tetapi ada kejadian anjing-anjing ini tidur di atas jalan menyebabkan penunggang motosikal cedera kerana teranggarnya pada waktu subuh.
“Kebimbangan juga bagi murid-murid sekolah yang menunggang basikal pada waktu pagi kerana anjing-anjing keluar dari semak dan mengejar mereka,” katanya ketika ditemui disini, hari ini.
Bagi Imam Masjid Jamek Kampung Parit Haji Siraj, Kasiran Saian, 71, anjing-anjing ini turut memasuki kawasan masjid dengan menggonggong selipar atau kasut jemaah yang bersolat subuh.
Menurutnya, tindakan pemilik anjing yang meninggalkan anjing-anjing mereka, menyebabkan penduduk berasa terancam keselamatan kerana bilangan haiwan itu semakin bertambah.
“Kami berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera kerana penduduk semakin bimbang termasuk ternakan mereka seperti ayam turut menjadi mangsa anjing-anjing liar itu,” jelasnya. – UTUSAN