KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pelancongan, Taj Tours Malaysia terus mengembangkan sayap operasinya terutamanya dalam pengkhususan edu-pelancongan bagi menarik minat orang luar untuk menyambung pelajaran di Malaysia, di samping berkunjung ke destinasi-destinasi menarik dalam negara.
Pengarah Urusan Datin Sri Rahayu Tajuddin berkata, pihaknya komited memberi garis panduan kepada pelajar antarabangsa untuk memilih yang terbaik dari segi pelancongan dan juga pendidikan selepas mengambil kira ia sebagai salah satu cabang industri yang semakin berkembang.
“Setiap tahun kita melihat kepada peningkatan jumlah pelancong edu ke Malaysia. Statistik menunjukkan trend yang progresif dan revolusi pendidikan ini didorong oleh pemodenan serta teknologi.
“Kami serius dalam mengatur edu pelancongan dan pembelajaran yang komprehensif secara formal mahupun tidak. Kami koreograf setiap lawatan itu mengikut kepada profil pelajar-pelajar yang hadir, seiring dengan sasaran oleh institusi dan harapan ibu bapa.
“Dalam masa sama, kita terapkan pengalaman pelancongan itu sendiri. Mereka diberi peluang untuk mengenali Malaysia dengan lebih dekat lagi.
“Akhirnya, edu pelancongan akan membuatkan pelancong edu itu bukan sahaja lebih memahami bidang yang dipelajari tetapi juga memperoleh pengalaman melancong ke negara lain,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama syarikat usahasama dari India, baru-baru ini.
Jelas Sri Rahayu lagi, pihaknya juga komited dalam meluaskan lagi sayap edu pelancongan berikutan Malaysia antara negara terbaik dunia bagi pelajar-pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian.
“Secara ringkasnya, Malaysia mempunyai 20 universiti awam, lebih 400 institusi pengajian tinggi swasta dan ribuan institusi pengajian yang lain. Pendidikan di Malaysia bukan sahaja setaraf dengan pendidikan dunia tetapi Malaysia juga diiktiraf sebagai negara yang sesuai untuk international study.
“Malaysia ialah hab pendidikan antarabangsa dan jika dibandingkan dengan negara lain, kos pembelajaran di Malaysia adalah sangat berpatutan.
“Setakat ini kira-kira 150,000 pelajar antarabangsa yang mendaftar di institusi pengajian tinggi Malaysia dan negara menyasarkan untuk menjadi tuan rumah kepada 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2025,” ujarnya. – UTUSAN