KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menegaskan kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyat Palestin akibat daripada serangan dilakukan Israel tidak sepatutnya menjadi ‘bahan’ politik untuk mana-mana pihak.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau berpandangan tidak wajar bagi sesetengah kumpulan menggunakan konflik Palestin-Israel sebagai bahan politik sehingga mewujudkan perasaan tidak senang.
Kata beliau, kerajaan mengambil beberapa pendekatan dan penetapan dalam konflik yang terjadi di Asia Barat tersebut.
“Saya tidak fikir wajar untuk (isu ini) terlalu dipolitikkan dan cerca, maki hamun. Orang mati, rumah (serta) kawasan hancur. Tak usahlah jadikan isu ini (sebagai) isu politik, nak cari political point.
“Sebab itu saya kata, jangan sesekali cuba membina mahligai atas pusara. Jadi (ini) satu peringatan kepada semua, buat kerja. Cari derma, bantuan,” katanya kepada media selepas melancarkan Ekspo Digital Malaysia (MDX) 2023 di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Timbalannya, Teo Nie Ching.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, beliau tetap menjalankan tugasnya sebagai pemimpin negara untuk merunding membawa dan menghantar bantuan ke Palestin.
“Kerja saya bercakap dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi (untuk) percepatkan, alhamdulilah Malaysia di antara negara yang paling cepat dapat kelulusan pesawat dan juga ke sempadan Rafah.
“Jadi saya harap perkara ini difahami, mungkin ada segelintir kecil tapi orang yang kerjanya sangat-sangat ‘menyesatkan’ dari segi perkembangan politik.
“Orang meninggal dan kita lihat itu sangat-sangat memprihatinkan tetapi masih ada juga (pihak yang) tak buat kerja apa, kutip derma pun tidak ada, duit simpati pun tiada. Kerjanya begitu sahaja,” katanya.
Anwar berkata, walaupun mempunyai perbezaan pendapat tetapi buat masa ini dalam menangani konflik Palestin-Israel ia memerlukan kesepakatan semua pihak.
“Setiap hari kita umpamanya apakah negara-negara Islam akan bersidang segera dan kita cadang kalau boleh jemput juga negara China, Russia, Bolivia, Ireland, Brazil yang nampak sependerian.
“Kita kena bincang kerana kita kena consensus (muafakat), setuju semua kalau tidak hanya dengan negara Islam (sahaja) yang akan bersidang. Ini sudah diputuskan, tarikh pun dibincangkan kalau ada maka insya-Allah saya akan pergi, dengan apa sahaja cara yang mungkin.
Tambahnya, terdapat beberapa perkara yang dilakukan dan dibincangkan oleh kerajaan tidak boleh diumumkan kepada khalayak ramai.
“Tidak semua hal yang kita lakukan boleh kita umumkan kerana yang menjadi keutamaan seperti mana saya bincang dengan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte baru-baru ini dan semalam dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida.
“Cari penyelesaian segera hentikan serangan serta pembunuhan anak-anak, wanita dan rakyat. Keduanya, bantuan makanan dan perubatan. Ketiganya, penyelesaian masalah Palestin keseluruhannya,” jelasnya. – UTUSAN