MAMPUKAH menyaingi kutipan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan? Itu antara persoalan yang timbul selepas pihak Studio Kembara kongsikan poster filem Pendekar Awang yang disebut-sebut sebagai kesinambungan kepada filem pecah panggung itu.
Kejayaan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan didorong oleh pelbagai faktor yang membolehkan filem tersebut mendahului sebagai filem terlaris dalam sejarah perfileman Malaysia dengan kutipan melebihi RM96 juta seluruh negara.
Kekuatan nama Mat Kilau cukup menarik penonton hadir ke pawagam, selain faktor-faktor lain seperti garapan Syamsul Yusof sebagai pengarah disegani lagi kontroversi serta barisan pelakon kelas pertama seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairi, Johan As’ari dan ramai lagi yang mengangkat naskhah tersebut ke satu tahap lebih tinggi.
Pendekar Awang, yang dijangka menemui penonton sekitar tahun depan pula berdepan cabaran berbeza dan sebagai kesinambungan kepada sebuah filem yang fenomena, pastinya filem ini memikul bebanan yang lebih berat dalam mendepani jangkaan masyarakat.
Wakil Kembara Studio, Ismail Mohd. Dali, kemampuan filem Pendekar Awang mengulangi kejayaan Mat Kilau kekal menjadi persoalan yang jawapannya sukar diramalkan.
“Saya tak berani nak cakap, tapi jujurnya sukar untuk kita ulangi pencapaian Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang merekodkan jumlah kutipan panggung yang memberangsangkan.
“Kita merujuk pada dua situasi berbeza. Mat Kilau dipasarkan pada fasa masyarakat dahagakan hiburan, berpusu-pusu ke pawagam selepas terpaksa berkurung di rumah kerana pandemik.
“Sekarang senarionya lain. Apapun kita serahkan kepada penonton. Tidaklah dapat dipastikan sama ada Pendekar Awang dapat menyaingi Mat Kilau dari segi kutipan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berbeza dengan Mat Kilau, Kata Ismail, filem Pendekar Awang turut mengangkat tema memperkasa wanita dengan mengetengahkan perjuangan isteri Awang dalam menentang penaklukan British di Tanah Melayu.
“Kita mengangkat hero yang tidak didendang seperti Awang yang memang wujud dan mempunyai pertalian dengan Mat Kilau. Filem ini juga mengupas tentang perjuangan isteri Awang yang bersama-sama menentang penjajahan,” kongsinya.
Nur Fazura, Amerul Affendi?
PENGLIBATAN Fattah Amin dalam filem Pendekar Awang bukan lagi rahsia sebaik pelakon ini memuat naik poster filem berkenaan di Instagramnya.
Namun yang masih menjadi persoalan adalah desas desus yang mengaitkan isterinya, Nur Fazura yang dikatakan turut bakal membintangi filem tersebut.
Fattah yang ditanya tentang perkara itu enggan berkongsi sebarang perincian bagi menghormati kontrak yang telah dipersetujui dengan pihak penerbit.
Selain Fazura, turut disebut-sebut bakal membarisi filem ini adalah pelakon berbakat dan berpengalaman luas, Namron.
Namron ketika disoal tentang kesahihan khabar angin tersebut mengakui hanya memainkan peranan kecil dalam filem berkenaan.
“Saya memainkan peranan sebagai bapa kepada Awang dalam filem ini. Ia cuma watak kecil, justeru saya tidak terkesan dengan jangkaan penonton terhadap filem ini nanti,” kongsinya.
Dalam masa yang sama, pelakon berbakat besar, Amerul Affendi juga disebut-sebut antara yang bakal membintangi filem ini.
Usaha Utusan Malaysia mendapatkan kesahihan khabar angin tersebut kerana pelakon berkenaan gagal dihubungi.